Video: Polis Tahan Lelaki Paksa Untuk Jalani Ujian



Polis mengesahkan telah menahan seorang lelaki yang dikatakan tidak memberi kerjasama untuk menjalani ujian saringan wabak Covid-19 di Labuan, Sabah.

Ketua Polis Daerah Labuan, Muhamad Farid Ahmad mengesahkan beberapa rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan pegawai kesihatan dan polis memakai topeng muka dan menahan seorang lelaki di sebuah flat di Labuan.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata polis dan pasukan kesihatan dari Hospital Labuan telah menahan individu berusia 68 tahun itu bagi memaksanya membuat ujian saringan.

Farid berkata "kekerasan secara minimum" digunakan bagi menahan individu itu, seperti peruntukan di bawah Seksyen 15 (2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang membenarkan pihak berkuasa untuk menggunakan kekerasan sekiranya perlu.

Polis menjelaskan bahawa lelaki tersebut merupakan kontak pertama kepada salah seorang jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Sri Petaling.

“Subjek sangat diperlukan untuk hadir ke Hospital Labuan untuk tujuan ujian saringan dan seterusnya menjalani sesi kuarantin,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Farid turut berkata lelaki tersebut tidak mengendahkan sebarang arahan dan perintah untuk menghadirkan diri ke hospital pada 17 Mac.

Dua hari kemudian, pasukan pegawai perubatan Hospital Labuan telah pergi ke alamatnya untuk membawa lelaki itu ke hospital bagi menjalani ujian saringan Covid-19, tetapi dia enggan memberikan kerjasama.

"Ekoran daripada kejadian itu, Jabatan Kesihatan Labuan telah meminta bantuan polis untuk melaksanakan perintah dan tugas tersebut,” jelasnya.

Farid berkata dua orang pegawai polis dan seorang pegawai kesihatan dikerah untuk menahan lelaki tersebut.

Setakat semalam, Malaysia mencatatkan 900 kes positif Covid-19 dengan dua kematian.

Daripada jumlah itu, 513 kes dan satu kematian mempunyai kaitan dengan program perhimpunan tabligh.

Daripada jumlah itu juga, lima individu dari Labuan disahkan positif Covid-19. - Malaysiakini