Insiden mengejutkan itu disedari apabila mangsa berusia 16 bulan mengalami sakit perut dan doktor yang memeriksanya berpendapat ia mungkin disebabkan oleh makanan yang tidak dicernakan dengan baik.
Namun, ibu bayi berkenaan, Dai berkata, selepas dua hari dirawat anaknya masih meragam dan dia membuat keputusan untuk membawa bayi tersebut ke Lishui Central Hospital untuk melakukan imbasan pada bahagian perut.
“Kami hanya mengetahui tentang bebola magnet itu selepas melihat imbasan tomografi berkomputer (CT Scan). Anak saya mungkin tertelan mainan tersebut ketika bermain dengan kanak-kanak lebih tua yang tinggal di sebelah rumah kami,” katanya.
Pakar pediatrik klinik pesakit luar, Zhang Heng berkata, keadaan bayi berkenaan agak serius.
“Sebanyak dua manik berada di dalam perut, dua magnet di dalam usus besar dan 10 lagi magnet di dalam usus kecil.
“Perut, usus kecil dan usus besarnya berlubang di enam tempat kerana bebola tersebut telah lama berada di situ. Ia juga menyebabkan pencemaran dan jangkitan serius di dalam rongga perut bayi berkenaan,” jelasnya.
Difahamkan, manik magnet yang telah mengoyakkan perut dan usus mangsa ketika ia cuba melekat di dalam tubuhnya akhirnya berjaya dikeluarkan selepas dua jam pembedahan kecemasan dilakukan.
Bayi berkenaan kini dalam keadaan stabil dan masih ditempatkan di unit penjagaan intensif pediatrik. - Sinar Harian