Warga Asing Ditahan Miliki Senjata Api Buatan Sendiri

KALABAKAN: Seorang pendatang tanpa izin (PATI) dari Indonesia ditahan kerana memiliki senjata api buatan sendiri dikenali sebagai ‘bekakuk’ serta enam peluru hidup di sebuah rumah di ladang kelapa sawit di Kalabakan pada Rabu.

Terdahulu, suspek berusia 47 tahun yang bekerja sebagai buruh ladang itu dikesan berada dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) kira-kira jam 12.20 tengah malam.

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali, berkata soal siasat kemudian mendapati suspek mengaku memiliki senjata berkenaan dan menyembunyikannya di kawasan semak, kira-kira 300 meter dari rumahnya.

"Pemeriksaan lanjut di lokasi terbabit menemui senjata api bekakuk itu bersama enam butir peluru hidup yang diletakkan di tepi kayu dan ditutup menggunakan zink,” katanya di sini.

Sementara itu, Hazani berkata, dalam operasi berasingan di kawasan yang sama, pasukan ESSCOM menahan enam lagi PATI lelaki dari Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

"Semua lelaki yang berusia antara 20 hingga 38 tahun itu ditahan ketika bersembunyi di sebuah rumah kongsi di ladang berkenaan pada jam 12.40 tengah malam,” katanya.

Beliau berkata, semua PATI terbabit mengaku baru sahaja tiba dari Wilayah Timur Indonesia melalui jalan yang tidak diwartakan.

Katanya, semua mereka dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 dan seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. - Astro AWANI