Video: Wanita Buang Anjing Kudung Tepi Jalan Dikecam Netizen

Kejam dan tidak bertanggungjawab. Itu perkataan sesuai untuk seorang wanita yang sanggup membuang dan meninggalkan anjingnya di tepi jalan utama di Brazil.

Lebih menyayat hati, anjing berbulu putih itu itu kudung kedua-dua kaki hadapannya.

Tindakan wanita itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tersebut sebelum dikongsi @Tweetmeajju.

Video itu memaparkan seorang wanita yang pada mulanya mengeluarkan dua ekor anjing dari keretanya namun dilihat hanya membawa masuk anjing berbulu hitam dan menghalau anjing putih itu sebelum beredar daripada kawasan tersebut.

Menerusi video berkenaan, anjing putih itu dilihat sedaya upaya cuba mengejar kenderaan wanita itu tetapi tidak terdaya.


Video dengan durasi 57 saat itu tular di media sosial sehingga meraih 848,000 tontonan dan 24,300 perkongsian.

Rata-rata warga maya sedih dengan keadaan anjing tersebut dan diharapkan ada pihak yang prihatin mampu menjaganya dengan lebih baik.

"Bila melihat wanita itu menghalau anjing yang kudung itu, aku rasa geram dan marah. Dahlah ditinggalkan tepi jalan sahaja. Diharapkan ada pihak-pihak atau individu yang boleh mengambilnya untuk dijaga dan dirawat dengan baik," tulis @Zackdan.

@StrealingDan pula memberitahu "Kenapa buang macam tu sahaja bukankah boleh hantar dia dekat kedai haiwan. Sungguh kejam awak buang anjing awak begitu sahaja. Diharap pemiliknya dikenakan tindakan undang undang." - Sinar Harian