Video: Peragut Ragut Rantai Emas Palsu Tular


KUALA LUMPUR: Seorang peragut 'berputih mata' selepas hanya berjaya menyamun seutas rantai tiruan daripada seorang wanita warga India di Jalan Tun Sambanthan, Ahad lepas.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah, kejadian berlaku pada pukul 10.55 pagi di Bangunan Dua Sentral.

"Hasil siasatan polis mendapati mangsa adalah seorang wanita warganegara India.

"Namun, menurut Polis Bantuan TNB yang bertugas sekitar bangunan itu, mangsa enggan membuat laporan polis kerana rantai yang diragut hanya emas tiruan," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Terdahulu, tular di media sosial video seorang lelaki menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC berwarna hitam dengan nombor pendaftaran tidak dapat dikenal pasti meragut rantai seorang wanita di kawasan Brickfields.

Bagaimanapun, Mohd Fahmi berkata kejadian bukanlah berlaku di kawasan Brickfields seperti ditularkan namun ia berlaku di Jalan Tun Sambanthan.

"Pihak polis menyeru kepada orang ramai sekiranya mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut untuk tampil membantu polis menjejaki suspek," jelasnya.