Video: Wanita Dera Anak Tiri Ditahan



Seorang wanita ditahan kerana disyaki mendera anak tirinya selepas satu rakaman video menunjukkan dia memarahi kanak-kanak itu sambil memegang satu objek, tular di media sosial, sejak kelmarin.

Suspek yang berusia 22 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Aman, Jinjang Utara di sini, jam 9 pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa, berkata selain tangkapan, anggota polis turut menyelamatkan mangsa yang juga seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun.

“Menerusi video yang tular itu, kelihatan suspek memberikan pelbagai amaran dan memarahi kanak-kanak terbabit dengan sejenis alat dipercayai sebatang pen.

“Mangsa diselamatkan sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Katanya, polis juga sudah merakam percakapan beberapa individu bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. - Berita Harian Online