Menyamar Jadi Ibu Sendiri, Agar Lulus Ujian Memandu

SESIAPA saja yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh insan bergelar ibu pastinya mahukan yang terbaik buat wanita yang pernah berkorban menjaganya hingga dewasa.

Itulah yang berlaku kepada Heitor Schiave, 43, yang mengambil keputusan drastik menyamar sebagai ibunya untuk mengambil ujian memandu dalam kejadian di utara Brazil.

Dia memakai pakaian dan solekan menyerupai ibunya Maria, namun helah itu terbongkar apabila penyamaran itu dikesan.

“Schiave cuba sedaya upaya menyamar menjadi ibunya.

"Dia memakai mekap yang tebal, mengenakan tata rias pada kukunya, memakai blaus bercorak bunga, serta barang kemas,” kata pengajar pemandu, Aline Mendoca kepada BBC.

Schiave didakwa nekad mengambil keputusan itu selepas ibunya beberapa kali gagal dalam ujian memandu.

“Dia (Schiave) mengaku bukan wanita pada kad identiti, sebaliknya anak kepada Maria.

"(Tujuan dia melakukannya ialah) supaya ibunya lulus ujian berkenaan,” kata Mendoca lagi.

Ibunya Maria bagaimanapun dilapor langsung tidak mengetahui mengenai rancangan itu.

Schiave ditahan pihak berkuasa atas dakwaan menyamar dan menyalahgunakan identiti. - Astro AWANI