Kira-Kira 8,000 Koala Mati Terbakar 😭😭😭

KIRA-kira 480 juta haiwan dianggarkan terkorban akibat kebakaran yang makin marak di hampir seluruh Australia sejak hujung Ogos lalu, menurut pakar ekologi Universiti Sydney.

Kebakaran belukar itu turut menyebabkan kira-kira 8,000 koala mati terbakar iaitu satu pertiga daripada seluruh populasi koala di New South Wales, menurut akhbar Evening Standard.

Memetik Menteri Alam Sekitar Persekutuan Sussan Ley, ABC melaporkan, sekurang-kurangnya 30 peratus populasi itu terkorban kerana kira-kira 30 peratus habitat mereka musnah dalam kebakaran.

Lebih 100 insiden kebakaran hutan berlaku di seluruh negara, sekali gus memusnahkan lebih 5 juta hektar tanah, 4 juta hektar daripadanya di New South Wales sahaja.

Sembilan nyawa turut terkorban manakala ratusan rumah musnah pada kebakaran belukar musim ini.

Pekerja di Hospital Koala Port Macquarie bertungkus lumus merawat koala yang tercedera, antaranya termasuk 72 yang dimasukkan ke hospital pada Hari Krismas.

Kata pakar ekologi bersama Majlis Pemuliharaan Alam Sekitar Mark Graham, koala tidak mampu bergerak laju dari pokok ke pokok untuk mengelak kebakaran.

“Kita sudah kehilangan jumlah koala yang amat besar dan saya yakin populasi koala akan terus menurun susulan kebakaran ini,” kata Mark.

Terbaharu, tular di media sosial seekor koala terpaksa mengejar manusia untuk mendapatkan air kerana kehausan.

Menerusi perkongsian di Instagram, Anna Heusler yang sedang berbasikal bersama rakan-rakannya di Adelaide pada Jumaat 'disapa' haiwan itu. - Astro AWANI