Powered by Blogger.

Wednesday, December 25, 2019

Kekasih Dicabul, Teman Lelaki Dikurungnya Di But Kereta



Terperdaya dengan tawaran menjadi model sambilan, seorang wanita dan teman lelakinya bukan sahaja disamun malah wanita berkenaan turut dicabul oleh seorang lelaki dalam kejadian di kawasan Lima Kedai, Iskandar Puteri, di Johor Bahru semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu berlaku ketika wanita berumur 23 tahun dan teman lelakinya, 20, yang kedua-duanya datang dari Kuala Lumpur, sedang menaiki sebuah kereta Perodua Myvi bersama-sama suspek yang diambil di Pontian untuk ke satu destinasi.

“Suspek menerusi Facebook menawarkan pekerjaan model sambilan kepada wanita itu dengan bayaran RM3,000 sehingga mendorong wanita berkenaan bersama teman lelakinya datang ke negeri ini.

"Apabila sampai di kawasan jalan mati berdekatan Lima Kedai, suspek secara tiba-tiba mengeluarkan sebilah parang panjang dari belakang badan dan meletakkan di leher teman lelaki wanita berkenaan lalu menarik serta mengurungnya di but kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Iklan

Dzulkhairi berkata suspek kemudian mengarahkan wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai itu membuka pakaian dan mencabulnya serta merakam perbuatan tersebut menggunakan telefon bimbit milik suspek.

Katanya, suspek kemudian membawa kenderaan terbabit sehingga ke sebuah kawasan kebun kelapa sawit di Pontian dan mengugut wanita itu supaya tidak membuat laporan polis jika tidak mahu video berkenaan disebarkan.

"Wanita tersebut bersama teman lelakinya yang juga seorang jurujual, kemudian ditinggalkan di tepi jalan manakala suspek melarikan diri bersama kereta Perodua Myvi berwarna hitam tersebut," katanya dan menambah kedua-dua mereka kemudian membuat laporan polis.

Dzulkhairi berkata, wanita terbabit dan teman lelakinya kerugian kira-kira RM60,000 termasuk Perodua Myvi yang merupakan milik kawan teman lelakinya itu.

"Antara barang yang disamun suspek daripada kedua-dua mereka adalah satu beg pakaian, sejumlah alat solek, seutas jam tangan, dua telefon bimbit jenis Iphone 6 dan 6 plus, beberapa kad bank serta wang tunai RM300,” katanya. Polis sedang giat memburu suspek, katanya. - Bernama