Powered by Blogger.

Tuesday, November 26, 2019

Video Wanita Islam Pertahan Keluarga Yahudi Dalam Kereta Api Tular


LONDON: Seorang wanita Islam yang diangkat sebagai ‘wira’ kerana berhadapan lelaki yang menghina kanak-kanak Yahudi dengan kenyataan anti-Semitik, menegaskan beliau tidak teragak-agak akan mengulangi tindakan itu.

Asma Shuweikh campur tangan dalam kejadian dalam kereta api bawah tanah di London apabila seorang lelaki mula membacakan ayat anti-Yahudi daripada Bible kepada dua kanak-kanak Yahudi yang berada dengan keluarga mereka.

Kejadian mengejutkan itu dirakamkan oleh seorang lagi penumpang, Chris Atkins, yang kemudian berkongsi rakaman itu di media sosial.

Memakai topi dan hud, lelaki berkenaan dilihat mengancam seorang lelaki selepas beliau cuba campur tangan sebelum Shuwiekh turut mencelah.

Shuweikh berkata, apabila melihat apa yang berlaku, beliau sedar beliau perlu berhadapan lelaki berkenaan.

“Saya ibu kepada dua anak, saya faham bagaimana perasaannya dan saya mahu ada seseorang membantu jika saya dalam keadaan itu,” katanya.

Shuweikh berkata, pasangan itu menaiki kereta api bawah tanah dengan tiga anak mereka, dan beliau mahu mengalih perhatian lelaki itu daripada mereka.

Shuweikh berkata, beliau berharap lebih ramai tampil berhadapan lelaki berkenaan apabila dia mula bertindak agresif terhadap keluarga Yahudi itu.

Sementara Atkins yang merakamkan kejadian itu berkata: “Pada hari ini, ketika kita diberitahu bagaimana kita tidak bertoleransi dan semua agama saling membenci, seorang wanita Islam mempertahankan beberapa kanak-kanak Yahudi.”

Pengguna Twitter memuji Shuweikh sebagai ‘wira’ kerana keberaniannya. — Berita Harian Online