David Stokes, 43, ditemukan mati di rumahnya di Hinckley, Leicestershire, United Kingdom selepas mengurung isteri dan anak-anaknya selama lebih lima jam di rumah pada 2 November 2016.
Kedua-dua anaknya, Adam, 11, dan Matthew, 5, ditemukan meninggal dunia dalam keadaan berpegangan tangan.
Isterinya Sally yang ditikam walau bagaimanapun masih hidup setelah sempat melepaskan diri.
Bedah siasat terhadap kanak-kanak itu tidak dapat mengenal pasti punca kematian mereka. Pakar patologi berkata ia mungkin disebabkan oleh sesak nafas atau tekanan pada leher.
Dalam inkues kes tersebut di Mahkamah Loughborough Coroner, Sally memberitahu dia berjaya melarikan diri selepas ditikam David.
Mahkamah inkues juga diberitahu bahawa David sebelum itu menang loteri berjumlah £40,000 (kira-kira RM216,000) dan menghabiskannya dengan membeli kereta dan melanggan pelacur.
Beberapa jam sebelum tragedi, Sally menjumpai telefon rahsia yang disembunyikan suaminya di dalam almari dapur.
Ketika itu terpapar notifikasi tentang tempahan pelacur yang dilakukan oleh David.
Apabila Sally bertanyakan mengenai perkara itu, David bertindak memukulnya dengan pencanai tepung sebelum menikamnya.
Sally bagaimanapun berjaya melarikan diri dan mendapatkan bantuan polis.
Drama tahanan selama lima jam itu berakhir dengan penemuan mayat David yang dipercayai membunuh diri. - Astro AWANI