Saya Sempat Ajar Arwah Isteri Mengucap Sebelum Menghembuskan Nafas Terakhir.


KUALA KEDAH: “Saya sempat mengajar arwah mengucap sebelum menghembuskan nafas terakhir.”

Itu nada sedih Azman Syah Gusti, 28, ketika isterinya Salwati Yaakob, 28, berada di pangkuannya selepas tersepit di dalam kereta yang dinaiki mereka akibat kemalangan.

“Arwah masa tu (ketika kemalangan) terus melompat peluk saya, lepas tu saya suruh mengucap. Dia sempat mengucap, dan lepas mengucap, selepas berapa saat dia dah tak ada.

“Tapi nak keluar memang tak boleh dah sebab saya tersepit di tengah-tengah, (dan terpaksa) tunggu bomba datang baru boleh buka sebab tak boleh gerak dah,” katanya.

Menceritakan saat terakhir bersama arwah, Azman berkata isterinya tidak tidur dan berulangkali memandang wajahnya yang ketika itu memandu kereta.

Azman tidak menyangka sikap pelik isterinya itu merupakan petanda bahawa dia akan pergi buat selama-lamanya.

Azman dan Salwati, baharu melangsungkan perkahwinan di Kuala Kedah pada Sabtu lalu.

Pasangan ini yang menaiki kereta jenis Produa Myvi bersama rakan mereka sedang dalam perjalanan ke rumah mereka di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun Salwati maut di tempat kejadian selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 317 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran susur keluar Tapah, malam tadi yang turut mengorbankan seorang lagi mangsa.

Jenazah isterinya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ulu, Kuala Kedah jam 6.30 petang Rabu. - Astro AWANI