Powered by Blogger.

Thursday, November 28, 2019

Rogol Dan Liwat Wanita Berusia 28 Tahun Di Ladang Sawit, Dua Sahabat Didakwa




KEMAMAN - Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan merogol serta melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap seorang wanita berusia 28 tahun di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Payoh pada 18 November lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh, Mohd Shahrul Anuar Mohd Saleh, 32, dan Abdul Karim Abu Kasim, 36, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Azman Mustapha.

Mohd Shahrul Anuar yang beralamat di Kampung Baru, Bukit Teruna, Kemasik di sini berhadapan dua kes bagi pertuduhan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan (KK) dan dua kes di bawah Seksyen 377C KK.

Manakala, Abdul Karim yang beralamat di Kampung Payoh, Kemasik, di sini berdepan satu kes bagi kesalahan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 377C KK.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang mangsa berusia 28 tahun pada 18 November 2019 antara jam 12 tengah malam hingga 5 pagi di Kawasan Ladang Kelapa Sawit Kampung Payoh dalam daerah Kemaman.

Oleh itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 377C KK dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Hukuman itu memperuntukkan penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan atas kesalahan dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan aturan luar tabii ke atas seseorang tanpa kerelaan atau bertentangan dengan kemahuan atau meletakkan orang lain dalam ketakutan, mati atau cedera.

Berdasarkan pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merogol seorang wanita sama pada 18 November jam 12 tengah malam hingga 5 pagi tanpa kerelaannya.

Oleh demikian tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 (1) KK dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat.

Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii pada tarikh, lokasi dan masa yang sama dan boleh dihukum mengikut seksyen yang sama iaitu Seksyen 377C KK.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh berusia 32 tahun ditahan di tepi jalan Kampung Payoh, Air Jernih, di sini pada 18 November lalu manakala tertuduh berusia 36 tahun ditahan di sebuah bangsal dalam ladang sawit Kampung Payoh jam 4 petang pada 19 November lalu.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asyraf Minhad.

Azman tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 15 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes. - Sinar Harian