Hati-Hati Masa Keluar Duit Di ATM Tengah Malam


BUKIT MERTAJAM - "Sama-sama beringatlah bila nak keluar duit di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) masa tengah malam." Itu nasihat daripada netizen kepada orang ramai.

Perkara itu dikongsi susulan tular satu foto memaparkan seorang pemuda terperangkap di dalam bilik mesin ATM ketika mahu mengeluarkan wang jam 12 tengah malam.

Menerusi status di Facebook Penang Kini, insiden itu berlaku di sebuah bank di Bandar Perda, Bukit Mertajam.

"Member kena kunci dalam bank, hahahahahaah, pintu terkunci secara automatik sebab dah jam 12 tengah malam. Sama-sama beringat la bila nak keluar duit dari mesin ATM tengah malam," tulisnya.

Sementara itu netizen juga berkongsi langkah keselamatan sekiranya mengalami kejadian seumpama itu.

Kata Muhd Fahmi, jika berada pada situasi itu, perlu sentuh suis interkom berhampiran pintu untuk berhubung dengan pihak bertanggungjawab.

"Kalau terperangkap ada suis dalam itu kalau tak dak ada CCTV, sila tekan interkom kat dinding kemudian ada operator yang menjawab... Kalau tak reti tunggu la sehingga 6 pagi baru boleh buka," tulisnya.

Bukan itu sahaja, netizen juga berkongsi pengalaman yang sama terperangkap di dalam bilik mesin ATM namun berjaya keluar.

"Aku pernah kena... Hahahahahah. Nasib ada 'button lock' kat dalam tu. Tekan ja nanti buka balik pintu tapi bunyi macam ada kes rompak," tulis Nor Fasihah.

Kata Norie Afisya pula, "Dia mesti tak tahu ada 'release button' tu... kalau tidak mesti lama dah dia tekan."

Posting itu mendapat lebih 7,800 tanda suka dan 1,500 maklum balas dari netizen. - Sinar Harian