Video Gadis Ceroboh Masuk Kandang Singa


NEW YORK: Seorang gadis menjadi buruan polis di New York, Amerika Syarikat selepas tindakannya menceroboh masuk kandang singa dan menari di depan haiwan berkenaan baru-baru ini di Zoo Bronx.

Rakaman video yang tular di media sosial itu menyaksikan gadis berkenaan melangkah masuk ke dalam pagar dengan sengaja sebelum melambaikan tangannya dan mula menari.

Meskipun begitu, terdapat parit kecil yang memisahkan gadis itu dengan singa berkenaan, lapor CBC News.

Dalam pada itu, menurut pihak berkuasa, gadis berkenaan boleh ditahan atas tuduhan memasuki kawasan larangan tanpa kebenaran.

“Pagar dipasang demi memastikan keselamatan haiwan, pengunjung dan kakitangan. Kami tidak akan bertoleransi sekiranya ada yang melanggar undang-undang,” kata jurucakap zoo itu.

Sementara itu, seorang pengunjung mempersoalkan tindakan gadis berkenaan memasuki kandang singa dan menari.

“Saya harap tidak ada hal buruk yang terjadi kepada singa itu kerana perbuatan gadis tersebut," cetus pengunjung yang lain.

Ketika video itu menjadi viral di Instagram, netizen mengatakan bahawa gadis berkenaan patut bersyukur dia selamat dan tidak dibaham.

“Mungkin singa itu sudah diberi makan tengah hari,” gurau mereka. - Astro AWANI