Polis Tahan 4 Remaja Ekoran Tular Video Basikal Lajak


Ekoran video sekumpulan remaja menunggang Basikal Lajak yang tular di laman sosial, anggota penguatkuasa dari Unit HMPV Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ampang Jaya semalam telah melakukan pemantauan Basikal Lajak di sekitar kawasan Tasek Tambahan, Ampang.

Hasil pemantauan yang dijalankan telah berjaya menahan (4) buah Basikal Lajak bersama penunggang yang kesemuanya lelaki berbangsa Melayu berusia lingkungan 11 tahun hingga 15 tahun.

Mereka yang ditahan telah dibawa ke Balai BSPT Ampang Jaya dan telah dikeluarkan saman atas kesalahan menunggang basikal tanpa brek dan loceng di bawah Peraturan 42(1)(a) Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959. Manakala semua Basikal Lajak tersebut disita mengikut Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebelum ini sekumpulan remaja menunggang basikal lajak secara berkumpulan di jalan raya di Taman Muda Ampang di sini bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri malah pengguna jalan raya lain.

Aksi remaja berkenaan dirakam seorang pemandu teksi yang kebetulan melalui jalan berkenaan. Video itu kemudiannya tular di Facebook sehingga mengundang kecaman netizen.

Video yang memaparkan kira-kira lima hingga enam remaja itu dipercayai berlumba sambil diekori sebuah motosikal dipercayai rakan kepada sekumpulan remaja itu.

Pemandu teksi itu turut memarahi remaja terlibat kerana aksi mereka sangat berbahaya.

Rata-rata netizen menyelar tindakan sekumpulan remaja itu yang disifatkan sengaja mengundang masalah kepada pengguna jalan raya.

Tidak kurang juga yang menasihatkan ibu bapa kepada remaja terlibat agar memantau pergerakan anak mereka sebelum sesuatu yang buruk berlaku.