Kanak-Kanak Mandi Di Tasik Bertukar Tragedi 😭😭


SIBU: Keseronokan sekumpulan kanak-kanak mandi di Tasik Sibu Jaya sempena cuti hujung minggu bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka lemas, hari ini.

Mayat mangsa, Muhammad Aidil Salleh, 13, ditemui pada kedalaman kira-kira enam meter di dasar tasik berkenaan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 1.25 tengah hari tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, kanak-kanak mula berenang di tasik berkenaan pada jam 11 pagi tadi.

Beliau berkata, mangsa disedari mengalami masalah ketika berada di tengah tasik dan rakan-rakannya tidak sempat menyelamatkannya.

“Operasi pencarian dilancarkan sebaik menerima panggilan pada jam 12.34 tengah hari.

“Seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu termasuk anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dikerah ke lokasi,” katanya.

Difahamkan, pasukan SAR menghadapi kesukaran berikutan dasar tasik berkenaan berlumpur tebal.

Katanya lagi, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - Berita Harian Online