BANGKOK: Enam ekor gajah liar mati setelah terjatuh ke kaki sebuah Air Terjun Haew Narok yang terletak di Taman Negara Khao Yai, Thailand, pada Sabtu.
Terdapat dua ekor gajah lain dipercayai dalam kawanan yang sama ditemui terselamat, namun menurut pegawai taman negara berkenaan, pasukannya masih mencari jalan untuk mengeluarkan kedua-duanya dari zon bahaya.
Enam ekor yang mati termasuklah seekor anak gajah berusia tiga tahun, kata Ketua Taman Negara Khao Yai, Kanchit Srinoppawan.
Kawasan air terjun berkenaan kini ditutup buat sementara waktu.
Media tempatan melaporkan, siasatan awal mendapati insiden memilukan itu bermula daripada salah seekor atau beberapa gajah tergelincir jatuh di lokasi itu, dan cuba diselamatkan oleh kawanannya, namun berakhir dengan kematian enam ekor kesemuanya.
Pengasas Yayasan Persahabatan Wildlife Thailand, Edwin Wiek memaklumkan kejadian serupa pernah berlaku di lokasi yang sama pada 1992.
Terdapat kira-kira 300 ekor gajah liar di taman tersebut, yang merangkumi lebih daripada 2,000 kilometer persegi hutan dan padang rumput.
Ia menjadi habitat kepada pelbagai haiwan liar, termasuk beruang, gajah dan ungka, dan merupakan destinasi popular bagi pelancong tempatan dan luar negara. - Astro AWANI