13 Mat Lajak Buat Superman Ditahan


Seramai 13 remaja yang asyik beraksi ala Superman dengan basikal lajak masing-masing di Jalan Impian Makmur, Saujana Utama, Kajang dekat sini, ditahan dalam Operasi Basikal Lajak, semalam.

Dalam operasi oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang bermula jam 6 petang itu, polis turut merampas 13 buah basikal lajak milik remaja berusia antara sembilan hingga 15 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata ketika ditahan, semua remaja terbabit dilihat menunggang basikal dengan aksi berbahaya dan tidak cermat ketika menuruni laluan berbukit di situ.

“Mereka dilihat menunggang basikal berkenaan secara berkumpulan menuruni laluan berbukit di Jalan Impian Makmur sehingga ke Sekolah Kebangsaan Saujana Impian.

“Anggota BSPT yang menjalankan operasi kemudian menahan dan menjalankan pemeriksaan ke atas mereka serta basikal lajak yang digunakan.

“Kita mendapati banyak basikal itu diubah suai dan tidak mengikuti spesifikasi basikal biasa yang selamat digunakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, semua remaja terbabit ditahan dan dibawa ke Cawangan Trafik IPD Kajang untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Sebaik pemeriksaan selesai, semua basikal lajak itu dirampas mengikut Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala penunggang basikal pula disaman mengikut Peraturan 42(1)(a) LN166/59 di bawah Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959.

“Pihak BSPT kemudian memanggil ibu bapa remaja terbabit dan diberi penerangan mengenai bahaya basikal lajak dan juga kesan kepada penunggang sekiranya berlaku kemalangan.

“Justeru, semua ibu bapa bersetuju untuk tidak mengambil semula basikal yang dirampas dan menyerahkan kepada trafik untuk tindakan lanjut,” katanya. - Berita Harian Online