Powered by Blogger.

Tuesday, April 2, 2019

Kisah Sebenar Lelaki Amuk Di Hadapan Bank


SEORANG lelaki cedera di perut selepas ditembak polis ketika mengamuk di hadapan sebuah bank di Bukit Tinggi, Klang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, polis menerima maklumat awal daripada pihak bank pada jam 12.30 tengah hari yang memaklumkan suspek berusia 41 tahun itu mengamuk dipercayai kerana tidak boleh mengeluarkan wang.

Menurutnya, dua anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) digerakkan ke lokasi kejadian namun suspek juga warga tempatan sudah beredar dari bank berkenaan.

“Pengawal keselamatan bank memaklumkan suspek akan kembali ke bank pada jam 2 petang dan jika tidak boleh mengeluarkan wang, suspek akan mengamuk.

“Polis URB datang semula ke bank berkenaan pada jam 2 petang dan dapati suspek berada di hadapan bank dalam keadaan marah serta memegang pisau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, anggota polis cuba menenangkan suspek selama 20 minit sebelum suspek bertindak agresif mengejar seorang anggota polis itu dan cuba menikamnya.

“Bagi mempertahankan diri, polis melepaskan empat das tembakan dan dua das mengenai bahagian perut suspek.

“Suspek dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk menerima rawatan,” katanya.

Shamsul Amar berkata, polis merampas pisau lipat berukuran tujuh inci serta satu paket di dalam beg sandang suspek dipercayai dadah.

“Suspek dipercayai di bawah pengaruh dadah dan mempunyai empat rekod lampau membabitkan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya. - Harian Metro