Powered by Blogger.

Monday, February 18, 2019

Mati Tergantung Di Sisi Kapal


LELAKI dipercayai kru kapal bekalan luar pesisir (offshore supply vessel) ditemui dalam keadaan tergantung di sisi kapal dekat Pelabuhan Kemaman, Kemaman, petang hari ini.

Kejadian dikatakan disedari kapten kapal berkenaan yang ternampak objek manusia berpakaian seragam berwarna oren dalam keadaan tergantung di bahagian sisi kapal itu.

Sumber berkata, kapten kapal berkenaan kemudian menghubungi pegawai keselamatan di Pelabuhan Kemaman jam 2.45 petang menggunakan alat komunikasi berfrekuensi tinggi (VHF) untuk memaklumkan kejadian.

Katanya, sebaik menerima laporan, pegawai keselamatan berusia 34 tahun yang bertugas di pelabuhan itu membuat laporan ke Balai Polis Kemaman untuk tindakan lanjut.

“Ketika kejadian, kapal berkenaan berada di kawasan bersauh (anchorage area) pada jarak kira-kira 2.5 batu nautika dari Kemaman,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Gambar menunjukkan objek manusia berpakaian seragam berwarna oren dalam keadaan tergantung di sisi kapal itu mula tular di laman sosial sejak petang hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.- Berita Harian