Wabak Selesema Babi Ragut 76 Nyawa


Penularan wabak selesema babi di salah satu hab pelancongan utama India, negeri Rajasthan di barat negara itu, meragut 76 nyawa tahun ini, kata pegawai kerajaan hari ini.

Cuaca sejuk memburukkan lagi wabak bermusim virus H1N1, dengan Rajasthan merekodkan lebih satu pertiga daripada kematian akibat selesema babi di India.

Bandar raya Rajasthan, dengan kubu dan istana mengagumkan, menarik ramai pelancong luar, walaupun pegawai berkata tiada laporan mereka dijangkiti virus itu.

Lebih 8,700 penduduk di Rajasthan diimbas untuk H1N1 tahun ini dan 1,976 diuji positif semalam.

Kawasan paling teruk terjejas adalah Jodhpur, yang merekodkan 23 daripada 76 kematian di negeri itu setakat bulan ini.

Rajasthan melaporkan 705 kes selesema babi dan 53 kematian pada Januari tahun lalu.

Pasukan Pusat Kawalan Penyakit Kebangsaan (NCDC) tiba di Jodhpur semalam dan menghabiskan masa dua hari menyiasat penularan itu. — Berita Harian Online