Moto Ditunggang Abang Dirempuh Taksi Sewaktu Ke Sekolah


Seorang kanak-kanak maut selepas motosikal ditunggang abangnya dirempuh sebuah teksi di Jalan Maarof, Bangsar, di sini hari ini.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa, Athierah Batricesya Azizi, 11, maut di tempat kejadian manakalanya abangnya, Amzar Hazieq Azizi, 18, mengalami kecederaan ringan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kedua-dua mangsa sedang dalam perjalanan ke sekolah.

"Siasatan awal mendapati teksi yang dipandu seorang lelaki berusia 59 tahun telah memasuki simpang Jalan Tanduk dan terlanggar motosikal hingga menyebabkan kedua-dua mangsa terjatuh.

"Penunggang hanya luka di bahagian kaki kiri manakala pembonceng disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Jelasnya, mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat. - Utusan Online