Skip to main content

Masukkan Kucing Dalam Mesin Pengering, Lelaki Ini Terima Padah


SELAYANG: Seorang pemandu teksi yang viral dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menangkap dan memasukkan seekor kucing bunting ke dalam mesin pengering sehingga mati dalam keadaan berdarah, dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Hakim Rasyihah Ghazali, menjatuhkan hukuman itu terhadap A Mohanraj, 42, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada tidak bersalah ketika kes ditetapkan untuk sebutan semula.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 14 September tahun lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Moharaj didakwa dengan kejamnya menyebabkan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap seekor kucing di kedai dobi Queen Self-Service, Taman Gombak Ria, di sini, jam 12.54 tengah malam hingga 1 pagi, pada 16 September tahun lalu.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan dihukum mengikut Seksyen 29 (1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon dijatuhi hukuman ringan dengan alasan perlu menanggung isteri dan menjaga ibu yang sedang sakit.

“Sepanjang dalam tahanan, saya sering diejek dan dihina oleh banduan lain. Sehubungan itu, saya ingin memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan ini,” katanya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor, Roslan Mohd Isa, membantah rayuan itu dan memohon hukuman berat kerana kesalahan membabitkan kepentingan awam yang menyaksikan tingkah laku menganiaya dan menzalimi haiwan yang tidak mampu melawan.

“Sebagai manusia berakal, tertuduh seharusnya melindungi binatang kerana ia tidak berdosa dan mendatangkan bahaya.

“Perbuatan menganiaya dan menzalimi haiwan adalah sikap yang tidak boleh diterima oleh masyarakat,” katanya.

Pada prosiding itu, pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ain Shafie dan dihadiri Pengarah Penguatkuasa JPV Malaysia, Zaharinan Abd Aziz.

Sebelum ini, pada 20 September 2018, Mohanraj dan juruteknik, SS Satthiya, 26,mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen.

Pada 16 Oktober tahun lalu, pekerja kontrak, K Ganesh 41, pula dihadapkan ke mahkamah dan mengaku tidak bersalah atas kesalahan sama.

Bagaimanapun, pada prosiding sama, Satthiya, dilepas tanpa dibebaskan oleh mahkamah untuk dijadikan saksi pendakwaan.

Mengikut fakta kes, pada 11 September 2018, pengadu yang juga pengurus premis dobi menerima panggilan telefon daripada pelanggan yang memaklumkan terdapat bangkai kucing dalam mesin pengering baju bernombor siri D12.

Selepas membuat pemeriksaan dalam mesin itu, pengadu mengambil tindakan memeriksa rakaman CCTV dan mendapati dua lelaki mengambil kucing yang berada di bawah meja lipat serta mencampakkan haiwan berkenaan dan menutup mesin pengering.

Kedua-dua tertuduh kemudian memasukkan token dan menekan butang mula sebelum beredar meninggalkan kedai dobi berkenaan. Ekoran tindakan itu, pengadu terpaksa menutup sementara kedainya akibat gangguan bau bangkai yang sangat teruk.

Beliau kemudian membuat laporan polis dan tangkapan dibuat pada 14 September tahun lalu. - Berita Harian Online

Popular posts from this blog

Video: Pemandu Grab Mengamuk. Suami Maki Isteri Dalam Grab

Video tular memaparkan seorang lelaki warga asing dipercayai memarahi isterinya ketika berada di dalam kenderaan e-hailing Grab sehingga mencetuskan ketegangan dengan pemandu Grab yang turut naik berang. Video rakaman CCTV memaparkan detik pertengkaran antara seorang lelaki warga asing dengan pemandu Grab dipercayai berlaku selepas lelaki tersebut memarahi isterinya di dalam kenderaan e-hailing berkenaan. Rakaman itu turut menunjukkan suasana tegang apabila pemandu Grab bertindak mempertahankan wanita terbabit sebelum berlaku pertikaman lidah antara kedua-dua pihak. Video berkenaan kini tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi orang ramai. Antara komen orang awam yang tular di media sosial mengenai insiden tersebut ialah ramai yang meluahkan rasa marah terhadap tindakan lelaki berkenaan serta memuji pemandu Grab kerana campur tangan. Sebahagian netizen turut meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas, manakala ada yang bersimpati terhadap wanita dipercayai menjadi mangs...

1 Maut, 2 Cedera Dalam Insiden Tembakan Di Skudai

Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan insiden tembakan yang berlaku malam tadi di kawasan Taman Industri Jaya, Skudai sehingga mengakibatkan seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera. Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia, kejadian berlaku sekitar jam 11 malam dan pihak polis menerima maklumat berkaitan insiden tembakan melibatkan mangsa lelaki tempatan berusia 27 tahun. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di hadapan sebuah pusat hiburan di kawasan berkenaan. Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat terkena tembakan, manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan. Turut dipercayai terdapat seorang lagi individu cedera namun identitinya masih belum dikenal pasti selepas dibawa keluar dari lokasi oleh kenalannya. Polis kini sedang giat mengesan dua suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta t...

VIDEO: Kena Serang Dihadpan Rumah Kena Pukul Depan Bini

Alor Setar, 20 April — Seorang individu mendakwa telah diserang oleh beberapa individu dalam satu kejadian yang berlaku sekitar jam 7 petang di hadapan rumahnya di Taman Mas Merah, Alor Setar, Kedah. Menurut mangsa, insiden tersebut berpunca daripada salah faham dan ketidakpuasan hati suspek selepas mangsa menegur isteri salah seorang pelaku berhubung tindakan memotong kenderaan secara mengejut untuk memasuki simpang. Kejadian itu berlaku di hadapan ahli keluarga mangsa dan bukan sahaja menyebabkan kecederaan fizikal, malah meninggalkan trauma yang mendalam. Mangsa menyifatkan kejadian tersebut sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku kepada sesiapa, apatah lagi di kawasan kediaman sendiri yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat. Rakaman kejadian melalui kamera litar tertutup (CCTV) telah diperoleh dan satu laporan polis telah dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Mangsa turut memaklumkan bahawa semua bukti berkaitan telah diserahkan dan beliau bersedia memberi kerjasa...