Enggan Beri Kata Laluan Handphone, Isteri Bakar Suami.


LOMBOK: Seorang isteri yang cemburu membakar suaminya selepas lelaki itu enggan memberikan kata laluan untuk memeriksa telefon bimbit miliknya.

Tribun News melaporkan kejadian berlaku di Dusun Montong Bawi, Jerowaru, Lombok Timur di sini pada Sabtu lalu.

Menurut laporan itu, Dedi Purnama, 26, membaiki atap rumah sebelum isterinya Ilham Cahyani, 25, meminta kata laluan untuk membuka telefon bimbit milik suaminya.

Bagaimanapun, Dedi enggan memberitahu kata laluan untuk membuka telefon bimbit miliknya malah dia turut memarahi isterinya.

Tidak cukup dengan itu, Dedi turut memukul isterinya selepas wanita berkenaan terus mendesak untuk memeriksa telefon bimbit itu.

Difahamkan, wanita itu mahu memeriksa telefon bimbit milik suaminya kerana mengesyaki lelaki itu berlaku curang.


Kerana berang dengan sikap suaminya, Ilham mengambil botol yang mengandungi minyak petrol dan menyiram mangsa sebelum menyalakan api.

Lelaki itu yang terbakar hampir keseluruhan badan berlari keluar rumah sebelum diselamatkan beberapa jiran yang mendengar jeritannya meminta tolong.

Mangsa yang mengalami lecur yang serius segera dibawa ke sebuah pusat kesihatan masyarakat untuk rawatan.

Jurucakap polis Jerowaru, Abdurasyid ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai isteri yang membakar suaminya kerana enggan memberikan kata laluan telefon bimbit.

“Mangsa dirawat di pusat kesihatan kerana lecur teruk di beberapa bahagian tubuh manakala isterinya ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya. - Harian Metro