Powered by Blogger.

Friday, December 28, 2018

Khairuddin Cadang TMJ "Turun Dari Takhta" Jadi Ahli Politik Sepenuh Masa


Bekas pemimpin Umno Khairuddin Abu Hassan mencadangkan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk terjun dalam arena politik secara sepenuh masa.

Khairuddin berkata Tunku Ismail wajar "mengikut teladan" veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas Timbalan Menteri Pengangkutan Tengku Azlan ibni Sultan Abu Bakar (adik Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah) yang berbuat demikian.

Bagi Khairuddin, ia akan menjadikan Tunku Ismail - yang menurutnya sering mengeluarkan kenyataan dan kritikan politik - lebih dihormati dan dipandang mulia rakyat.

"Janganlah Tuanku sentiasa dan berterusan mengungkapkan kenyataan politik yang amat tidak manis didengar oleh rakyat jelata kerana kita mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan.

"Tetapi andai Tuanku rasa hebat berpolitik, turunlah dari takhta secara terhormat agar Tuanku boleh terus mengkritik pemimpin kerajaan dan rakyat juga boleh mengkritik Tuanku secara terbuka," katanya dalam kenyataan.

Tunku Ismail sememangnya dikenali sebagai lantang menyuarakan pandangannya berkenaan politik di media sosial.

Sebelum PRU ke-14 mengkritik "individu yang berumur 93 tahun ingin menjadi Perdana Menteri" - dipercayai merujuk kepada Dr Mahathir Mohamad.

Terbaru, Tunku Ismail menyerang Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Khairuddin yang kini anggota Amanah berkata lagi, Tunku Ismail tidak wajar "berselindung di belakang Perlembagaan" yang melindunginya daripada sebarang kritikan.

"Amat kurang enak kerana Tuanku boleh mengkritik rakyat tetapi rakyat tak boleh mengkritik Tuanku kerana Perlembagaan yang memagari Tuanku.

"Jika Tuanku masih terus mengeluarkan kenyataan berbaur politik, patik risau kalangan rakyat tidak lagi menghormati istana," katanya lagi. - Malaysiakini