Powered by Blogger.

Thursday, October 25, 2018

Pirates Of The Caribbean Tanpa Johnny Depp?


PEMINAT "Pirates of the Caribbean", mahukah anda menonton filem itu tanpa Johnny Depp?

Pelakon itu memainkan watak Jack Sparrow selama 15 tahun, tetapi Disney kini dilaporkan merancang satu reboot dan nama Depp tiada dalam perancangan mereka, lapor portal The Sun.

Penulis skrip, Stuart Beattie dikatakan telah mengesahkan perkara itu dengan memberi alasan keseluruhan francais tersebut akan diolah.

"Saya fikir Jack Sparrow akan menjadi legasi terhebat Depp. Ia satu-satunya watak yang dimainkan Depp sebanyak lima kali, peminat tentu akan mengingatinya dengan watak itu," kata Beattie.

Disney dilaporkan telah bertemu dengan penerbit filem Deadpool, Rhett Reese dan Paul Wernick untuk mendapatkan nasihat berikutan kejayaan mereka menerusi filem francais superhero sebelum ini.

Kali terakhir Depp muncul dalam Pirates of the Caribbean adalah menerusi "Dead Men Tell No Tales" pada tahun 2017, yang disifatkan sebagai paling kurang berjaya dalam lima francais filem itu.

Depp, 55, dikatakan bergelut dengan masalah peribadi dan kewangan sejak beberapa bulan ini.

Jun lalu, sekeping foto yang memaparkan dirinya dalam keadaan kurus dan tidak terurus mengundang kegusaran peminat, namun terdapat laporan menyatakan Depp ketika itu menjalani penggambaran sebuah filem. - Astro AWANI