Powered by Blogger.

Tuesday, September 4, 2018

Pengetua Sekolah Dipecat Buat Aksi Tarian Tiang Depan Anak Murid


Beijing: Pengetua di sebuah sekolah rendah di China dipecat selepas majlis hari pertama persekolahan dimeriahkan dengan persembahan tarian tiang sekali gus mencetuskan kemarahan ibu bapa.

Seperti kebanyakan sekolah di China, Tadika Xinshahui di Shenzhen menyambut hari pertama persekolahan dengan majlis dan sering diiringi persembahan.

Bagaimanapun, majlis di tadika itu semalam turut menyelitkan persembahan tarian yang menjadi punca pengetuanya, Lai Rong dipecat.

Beberapa video yang tersebar di media sosial menunjukkan seorang wanita yang berpakaian seksi membuat tarian tiang di atas pentas dan disaksikan pelajar berbaris.

Beberapa pelajar dilihat meniru gerakan penari berkenaan dan ada yang menari bersama rakan-rakan mereka manakala ibu bapa pula kelihatan terkejut dengan persembahan itu.

Beberapa ibu bapa memuat naik video persembahan berkenaan dan mengecam sekolah itu serta merancang untuk menukar sekolah anak mereka.

“Tarian tiang di majlis buka sekolah? Bagaimana saya mahu percaya mereka (guru) untuk mengajar anak saya? Saya tidak mahu menghantar anak saya ke sini lagi,” kata seorang bapa di media sosial.

Beberapa jam selepas video berkenaan tular di media sosial, pihak berkuasa pendidikan daerah Bao’an mengumumkan bahawa pengetua tadika berkenaan dipecat dan tindakan itu disiasat.

“Sekolah lain di daerah ini patut mengambil pengajaran daripada insiden ini dan memegang teguh standard pendidikan,” katanya dalam kenyataan.  - Harian Metro