Powered by Blogger.

Monday, July 30, 2018

Video: Suami, Isteri Diserang Lelaki Mabuk Di Jinjang Utara Tular


KUALA LUMPUR: Hanya kerana teguran bunyi bising motosikal ditunggang, tiga individu termasuk seorang wanita terbabit dalam pergaduhan di Rumah Panjang Jinjang Utara, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, seorang wanita berusia 26 tahun bersama suaminya, 20-an, menaiki dua motosikal berasingan iaitu Yamaha Lagenda dan Honda EX5 ke rumah ibu saudaranya bagi mengambil dua anak mereka.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, ketika mangsa dan suaminya melalui kawasan bekas tapak permainan di lokasi berkenaan, mereka terlihat sekumpulan lelaki sedang mabuk dan dua lagi individu menaiki motosikal yang membuat bising.

"Kedua-dua lelaki berkenaan dilihat membuat provokasi terhadap mangsa dengan menaiki motosikal Yamaha 125Z sambil mendatangkan bunyi ekzos yang kuat.

"Mangsa yang tidak puas hati dengan tindakan dua lelaki berkenaan bertindak menegur mereka, namun kedua-dua lelaki berkenaan kemudian memaki dengan kata-kata kesat serta mengugut untuk mencederakan mangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Munusamy berkata, berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dengan dua lelaki tebabit.

"Seorang daripada dua lelaki berkenaan kemudian menyerang mangsa dengan menumbuk dan menendangnya di bahagian tangan kanan serta kaki kiri.

"Suami mangsa cuba menyelamatkannya daripada terus diserang, namun dua lelaki berkenaan terus menyerang wanita terbabit," katanya.

Beliau berkata, dua suspek terbabit melarikan diri menuju ke belakang kawasan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Jinjang Utara.

"Mereka kemudian dikejar dan dipukul penghuni perumahan berkenaan kerana tidak puas hati dengan tindakan dua suspek terbabit memukul mangsa.

"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami cedera ringan. Kami sedang mengesan kira-kira lapan individu termasuk dua suspek yang memukul mangsa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan menggunakan senjata," katanya.

Kejadian suspek berkenaan dipukul turut tular di media sosial apabila video seorang lelaki dipercayai suspek dipukul sekumpulan lelaki bersenjatakan kayu dikongsi di Facebook, hari ini. - Berita Harian Online