Video: Dewan Rakyat Kecoh, Ramkarpal Kata Pemuda UMNO Seperti Samseng


Hasrat membangkitkan tanggungjawab kerajaan dalam mengheret segelintir ahli Parlimen yang didakwa pernah berlagak samseng akhirnya mengundang kekecohan di Dewan Rakyat, hari ini.

Suasana ibarat `pasar malam' ketika sesi perbahasan titah diraja itu mula tercetus apabila KS Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) menerusi celahannya membangkitkan satu insiden pergaduhan beberapa tahun lalu.

"Saya masih ingat satu insiden membabitkan Ketua Pemuda UMNO, mereka ada di sini hari ini, mana dia? Lagak tidak bertamadun, menyerang Karpal Singh bersama sekurang-kurangnya lima lagi Pemuda UMNO seperti gengster.

"Soalan saya, adakah Parlimen sebagai institusi yang berperlembagaan, bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan mengambil tindakan sewajarnya kepada gengster Pemuda UMNO?" katanya sambil menuding jari ke blok pembangkang.

Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang lantas bangkit memberikan reaksi daripada penggunaan perkataan gengster itu mengemukakan Peraturan Mesyuarat 36(4) supaya Ramkarpal menarik balik kenyataannya.

Peraturan itu menggariskan adalah menjadi kesalahan bagi ahli Dewan Rakyat yang menggunakan bahasa kurang sopan (biadap) atau membuat pernyataan seksis.


Pertikaman lidah itu bagaimanapun terus meruncing apabila wakil daripada kedua-dua blok bangkit mempertahankan seteru masing-masing, termasuk Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) dan R Sanisvara Nethaji Rayer (PH-Jelutong).

Angkara pergaduhan babak kedua itu, Sanisvara turut menggunakan Peraturan Mesyuarat 36(4) atas dasar sama supaya Bung Moktar menarik balik perkataan 'samseng' yang digunakan sebelum ini dalam ucapannya.

Bung Moktar yang terkenal dengan keletahnya di Dewan Rakyat bingkas bangkit dan berkata: "Macam mana saya nak tarik Yang Dipertua, dia memang samseng pun."

Reaksi spontan itu sekali gus menyebabkan hampir semua ketawa dalam usaha meredakan suhu perbahasan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, selepas didesak berulang kali bagi merungkai isu itu akhirnya bersetuju supaya Ramkarpal dan Kuala Krau diberi amaran dan mengarahkan supaya mereka menarik balik penggunaan perkataan samseng dalam ucapan.

Drama di sesi pagi Dewan Rakyat seolah-olah tiada penghujung apabila masing-masing `panas punggung' kerana Ramkarpal berdalih dan menegaskan keengganannya menarik balik perkataan samseng kerana mendakwa tidak pernah menggunakannya.


Keadaan semakin teruk apabila Mohd Rashid seolah-olah membuat pusingan 'U' apabila menjelaskan pertikaian isu penggunaan perkataan samseng itu sudah selesai selepas mengeluarkan arahan kepada pihak berkaitan untuk tidak mengulanginya.

Percanggahan itu lantas menyebabkan suasana di Parlimen terus hingar apabila pelbagai pihak menuntut Ramkarpal akur terhadap arahan Mohd Rashid pada awal sesi perbahasan supaya menarik balik penggunaan perkataan samseng.

Usaha Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) untuk menyambung perbahasannya sebagai pencadang usul terus terbantut kerana suasana Dewan Rakyat 'sibuk' menyelesaikan isu penggunaan perkataan yang dianggap terlalu pedih untuk dihadam.

Keadaan itu berlarutan sehingga jam 1 tengah hari yang menyaksikan Dewan Rakyat terpaksa berhenti rehat sebelum menyambung sesi perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong pada jam 2.30 petang. - Berita Harian Online