Sivarasa Bebas Dari Tuduhan Menghasut.


Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar R Sivarasa dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan menghasut yang dikenakan ke atasnya tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Dr Gan Chee Keong membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Faizah Ismail memberitahu mahkamah Pejabat Peguam Negara menerima surat bantahan daripada defendan.

Sivarasa yang juga anggota parlimen Sungai Buloh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 berikutan ucapannya semasa himpunan Kita Lawan pada 2015.

Dalam ucapan itu Sivarasa didakwa mengkitik badan perundangan berhubung hukuman penjara yang dikenakan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dia kemudian didakwa pada 20 Okt 2015.

Sementara itu ditemui Malaysiakini selepas itu Sivarasa berkata dakwaan yang dikenakan terhadapnya bermotifkan politik.

"Saya tidak melakukan apa-apa jenayah dan bersyukur dengan pengguguran dakwaan ini," katanya.

Menurut Sivarasa lagi di bawah kerajaan baru Pakatan Harapan negara akan memasuki era baru dengan pelaksanaan demokrasi sebenar.

"Dalam tempoh beberapa bulan lagi, kita akan lihat Akta Hasutan ini dimansuhkan," katanya. - Malaysiakini