Rafizi Lahir Rasa Simpati Terhadap Najib.


Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli hari ini berharap Datuk Seri Najib Razak diberikan layanan baik sepanjang dalam tahanan pihak berkuasa.

Walaupun sebelum ini Rafizi dilihat cukup lantang mengkritik bekas Perdana Menteri itu berhubung skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut laporan Berita Harian Online, beliau yang melahirkan rasa simpati terhadap Najib menerusi catatan di Twitter rasminya hari ini berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu menjaga maruah Ahli Parlimen Pekan itu sesuai dengan statusnya.

"Saya antara orang yang banyak kritik beliau (Najib) tetapi saya berdoa beliau dilayan baik sebagai seorang bekas Perdana Menteri, dijaga maruah dan air muka. Saya berdoa beliau dan keluarga diberi keadilan sebaik-baiknya, itulah perjuangan reformasi," katanya.

Kenyataan itu mendapat pelbagai reaksi netizen termasuk anak perempuan Najib, Nooryana Najwa selain turut dikongsikan oleh bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Twitternya.

Nooryana Najwa melalui akauan Twitternya @Yananajib berkata, beliau berterima kasih kepada Rafizi dan berdoa bapanya mendapat layanan yang adil.

Seorang lagi netizen, Zakaria turut memuji kenyataan Rafizi yang disifatkan mengkritik kerajaan untuk kebaikan.

"Alhamdulillah, saya sebagai rakyat biasa yang selama ini menyokong kepimpinan DSNR (Najib) merasa bangga dan terharu dengan pandangan Rafizi. Bermusuh dalam politik, kritikan untuk membina. Semoga DSNR diberikan ruang untuk membela diri," katanya.

Anand.my juga senada dan berharap Najib dibicarakan seadilnya mengikut lunas undang-undang.

"Sebagai bekas Perdana Menteri, harap beliau akan dilayan mengikut lunas undang undang yang termaktub. Jangan jatuh hukum melalui persepsi. Biar undang undang menjalankan tugasnya. Harap beliau tabah melalui proses ini," katanya.

Sementara itu, Mathis Sarawanan pula berpendapat peraturan undang-undang perlu dilaksanakan terhadap sesiapa saja tanpa mengira statusnya.

"Besar hati Rafizi berani menyatakan pendirian sebegini namun ini bukan soal tertuduh itu bekas Perdana Menteri. Ini soal peraturan undang-udang yang wajar dilaksanakan terhadap sesiapa sahaja. Terima kasih ! Semoga proses siasatan dan dakwaan diadakan secara baik dan adil.

Sementara itu, media hari ini melaporkan Najib ditahan oleh Pasukan Petugas Khas 1MDB, di kediamannya di Jalan Langgak Duta, sekitar jam 3 petang tadi dan dibawa ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Pasukan itu dalam satu kenyataan mengesahkan pihaknya hanya menahan Najib seorang dan dijangka dihadapkan ke mahkamah esok untuk tindakan pertuduhan.

Difahamkan tangkapan ke atas Najib adalah berdasarkan siasatan yang dilakukan oleh pasukan siasatan dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia berkaitan SRC International Sdn Bhd. - Berita Harian Online