Peragut Parah Dilanggar Lori Selepas Meragut Dua Beranak.


Seorang lelaki cedera parah selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan lori selepas meragut dua beranak di Jalan Jernai, Setapak di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, suspek mulanya meragut beg tangan dalam raga motosikal ditunggang seorang remaja berusia 18 tahun bersama ibunya yang berusia 57 tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan Muhamad Najib Hamzah, berkata sebelum kejadian, dua beranak terbabit baru selesai membeli barang di Setapak Sentral.
 

"Sebaik tiba di hadapan Sekolah Agama Taman Danau Kota, suspek yang menunggang motosikal melarikan beg tangan dalam raga motosikal mangsa.

"Mangsa kemudian nekad mengejar suspek hingga ke simpang empat Jalan Gombak-Jalan Jernai sebelum melanggar motosikal lelaki itu.

"Ia menyebabkan kedua-dua motosikal terbabas manakala ketiga-tiga penunggang terjatuh.

"Suspek bangun dan mendapatkan motosikalnya sebelum cuba melarikan diri tetapi berlanggar dengan lori," katanya ketika dihubungi, hari ini.
 

Akibat pelanggaran itu, katanya, mangsa mengalami keretakan di tempurung kepala dan tangan kirinya patah.

"Suspek masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), manakala dua beranak itu melecet pada lutut, siku dan pergelangan tangan.

"Semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun mendatangkan kecederaan. - Berita Harian Online