Powered by Blogger.

Saturday, July 7, 2018

Malaysia Baharu Sepatutnya Lebih Baik Daripada Kerajaan Sebelum Ini.


Malaysia Baharu, label yang kini popular digunakan untuk menggambarkan kerajaan Pakatan Harapan yang baharu selepas pilihan raya umum 9 Mei sepatutnya “pastinya lebih baik” daripada pentadbiran sebelum ini yang memerintah negara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Malah, Malaysia Baharu adalah penambahbaikan terhadap tempoh sepanjang saya menjadi perdana menteri selama 22 tahun,” katanya dalam temu bual dengan Investvine, portal berita perniagaan berpangkalan di Hong Kong yang membuat liputan secara lebih khusus di Asia Tenggara, merujuk kepada tempoh pertama kali beliau menjadi perdana menteri sehingga November 2003.

Dr Mahathir berkata Malaysia Baharu bermaksud kerajaan akan kembali kepada demokrasi dan kedaulatan undang-undang dan menghormati kehendak rakyat.

“ Mereka telah menunjukkan bahawa mereka tidak suka kerajaan sebelum ini, dan sudah tentu kami perlu mengambil tindakan pembetulan untuk membawa negara kembali kepada organisasi terdahulu. 

Di masa lalu, kakitangan awam, misalnya, tidak terbabit dalam politik, tetapi kehadiran mereka ialah untuk melaksanakan dasar-dasar dan peraturan-peraturan kerajaan dan tidak sebagai anggota politik.

“Tetapi adalah agak ketara bahawa dalam tempoh 10 tahun lepas atau sekitarnya, kakitangan awam sudah banyak berubah dengan mereka dilihat secara terbuka berkempen bagi pihak kerajaan dan itu adalah salah. 

Ia menjadikan mereka berat sebelah dan membuatkan mereka berusaha memastikan kerajaan sebelum ini menang (pilihan raya), ada kalanya dengan melakukan perkara yang salah,“ katanya.

Dalam temu bual oleh Pengarah Investvine Imran Saddique dan korespondennya Firoz Abdul Hamid, perdana menteri turut menyentuh tentang rasuah dalam perkhidmatan awam.

“ Mereka melihat peluang-peluang untuk membuat wang untuk diri mereka sendiri dan tidak teragak-agak untuk tunduk kepada godaan itu. 

Menyaksikan pemimpin kerajaan sendiri dituduh rasuah, kami mendapati banyak daripada mereka terlibat kegiatan rasuah dan sudah tentu kami tidak boleh benarkan orang-orang ini meneruskan itu kerana mengikut persepsi, etika mereka terhadap perkara-perkara itu bukan apa yang diharapkan daripada penjawat awam,” katanya.

Dr Mahathir menegaskan bahawa kerajaan baharu tidak membalas dendam dengan menyingkirkan mereka kerana apabila individu atau pegawai seumpama itu terlibat dalam salahlaku, adalah salah untuk kerajaan terus mengekalkan mereka.

“ Mereka yang bersih, mereka dikekalkan. Ada kalanya amat sukar untuk menggantikan pegawai sedia ada kerana di bawah mereka juga terdapat pegawai rasuah. 

Ada masanya kami perlu turun tiga atau empat langkah ke bawah sebelum kami dapat jumpa pegawai yang tidak terlibat.

“Jadi prosesnya akan memgambil masa kerana tanpa pemimpin atau ketua kerajaan yang bersih, kami tidak akan dapat melakukan pembaharuan dan menegakkan kedaulatan undang-undang,” kata Dr Mahathir.

Beliau turut mendedahkan bahawa kerajaan sedang menyingkirkan “ agak banyak orang” hanya kerana mereka terlibat dan bukan disebabkan penglibatan mereka sebagai anggota parti tetapi bagi kes-kes yang mereka secara terbuka berkempen untuk parti pemerintah sebelum ini.

“Kami tidak boleh jangkakan mereka menjalankan tugas mereka tanpa terjejas oleh kesetiaan mereka. 

Jadi itulah masalah utamanya dan oleh itu pertama sekali kami perlu mendukung kedaulatan undang-undang dan sekali lagi menerima pakai sistem tadbir urus demokratik,” katanya.

Ditanya bagaimana beliau merancang untuk mengubah budaya itu dalam perkhidmatan awam, perdana menteri berkata ini akan mengambil masa kerana seluruh sistem nilai rakyat telah diremehkan khususnya di bawah kerajaan sebelum ini.

Perdana menteri turut memperkatakan tentang kerajaan sebelum ini yang suka memberi wang kepada rakyat yang jelas kerana kemiskinan tetapi malah mereka yang tidak miskin turut menjadi penerimanya.

“Malah setiap orang diberi wang percuma oleh kerajaan. Ini menjadikan rakyat bergantung kepada kerajaan dan mereka tidak lagi bekerja untuk menjana pendapatan. 

Mereka menjangkakan pendapatan mereka datang daripada kerajaan yang telah merosakkan etika kerja mereka sehingga ke tahap mereka tidak lagi bekerja bagi menjana pendapatan untuk hidup.

“ Mereka berpendapat bahawa walaupun mereka tidak bekerja, kerajaan bertanggungjawab untuk menanggung mereka, dan ini sudah tentu amat tidak baik kerana ini bermakna mereka tidak produktif,” katanya.

Dr Mahathir berkata jika keadaan itu berterusan, akhirnya jumlah mereka yang produktif akan berkurangan dan mereka tidak dapat membayar cukai yang diperlukan kerajaan untuk menampung “cara pentadbiran amat mewah ini” yang memberikan hadiah percuma kepada rakyat.

“Jadi kami perlu mengubahnya dan pasti akan ada natijahnya,” katanya.

Beliau memberikan contoh wang diberikan kepada nelayan yang dibayar setiap bulan sama ada mereka menangkap ikan atau tidak dan ini adalah sesuatu yang kerajaan tidak mampu tampung kerana wang itu diambil daripada kerajaan atau daripada sumber haram seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Seperti wang daripada 1MDB yang diambil oleh kerajaan dan diberikan kepada rakyat. Kami tidak boleh lakukan itu kerana kami tidak ada wang. 

Tetapi jika kami beritahu rakyat bahawa “maaf kami tidak boleh berikan kepada anda apa yang anda sudah biasa terima’, ia tidak akan dapat diterima dengan mudah kerana mereka akan kata ‘kerajaan sebelum ini lebih baik’. 

Tetapi kami perlu beritahu mereka secara berhemah bahawa tidak mungkin kami akan beri wang kecuali anda berkerja untuk meraih pendapatan,” katanya.

Ditanya adakah keseluruhan prestasi sistem pengurusan dalam Jabatan Perkhidmatan Awam perlu disemak semula sebagai sebahagian usaha untuk mengubah budaya itu, Dr Mahathir berkata beliau melihat kepada keperluan untuk menaikkan pangkat penjawat awam lebih muda untuk menggantikan mereka yang “teruk”.

“Mereka mungkin kurang pengalaman tetapi dengan diberi latihan, mereka akan menjadi golongan baharu yang tidak tercemar dengan amalan tidak baik di masa lalu,” katanya. - Bernama