Lelaki Parah Dikelar Dalam Pergaduhan Di Taman Sentosa


BUTTERWORTH 15 Julai – Angkara dendam dan masalah peribadi, seorang warga emas parah selepas dikelar menggunakan pisau lipat dalam kejadian di Pasar Awam Taman Sentosa, Machang Bubok di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 pagi itu, mangsa, Chiang Hin Beng, 61, mengalami kecederaan pada bahagian kepala, paha kiri dan leher akibat dikelar suspek.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, mangsa diserang suspek yang berumur 59 tahun dipercayai kerana dendam.
 

Tambahnya, sebaik sahaja melihat kecederaan mangsa yang agak parah, suspek bertindak melarikan diri dan mencampakkan pisau lipat yang dibawanya ke dalam longkang.

“Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan pukul 10 pagi tadi ketika mendapatkan rawatan di Hospital Bukit Mertajam selepas turut cedera pada bahagian kepala ketika bergelut dengan mangsa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ujar Nik Ros Azhan, kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan mangsa yang tidak bekerja kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil. – UTUSAN ONLINE