Kes Bayi 4 Bulan Bukan Kerana Tersedak Susu - Polis


Melaka - Susulan kematian bayi berusia empat bulan, Yusof Al-Baihaqi Zainal Abidin, pihak polis mengesahkan bahawa punca kematian bayi tersebut adalah akibat daripada jangkitan kuman pada paru-paru.

Bayi berkenaan pada mulanya telah dikatakan meninggal dunia akibat daripada tersedak susu ketika di bawah jagaan sebuah Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di Bukit Baru Melaka dan bedah siasat telah dibuat bagi mengenal pasti punca sebenar kematiannya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad bagaimanapun telah mengesahkan bahawa beliau telah pun menerima hasil laporan lengkap bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Melaka.

Bedah siasat telah dilakukan selama kira-kira lima jam yang berakhir sekitar jam 1.05 pagi tadi sebelum laporan penuh mengenai punca kematian bayi berkenaan dikenal pasti.

Menurut laporan berkenaan tiada sebarang unsur jenayah berlaku ke atas bayi berkenaan mahupun berpunca daripada tersedak susu seperti yang didakwa sebelum ini.

Pihak hospital masih lagi meneliti rekod perubatan bayi tersebut bagi mengenal pasti sama ada bayi tersebut sememangnya mempunyai sebarang masalah sejak lahir mahupun tidak.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah jangkitan kuman pada paru-paru. Ini yang telah dikeluarkan doktor yang telah menjalankan bedah siasat daripada hospital Melaka.

“Jenazah bayi berkenaan telah diserahkan kepada kedua ibu bapanya dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan di negeri Kelantan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Bayi malang tersebut telah pun selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Bakat, Mahligai Bachok, Kelantan kira-kira pukul 9.40 pagi tadi.

Walaubagaimanapun pihak polis akan merekodkan percakapan ibu bapa bayi berkenaan yang merupakan anggota polis dan guru bagi mengetahui sejarah kesihatan anak mereka.-Astro Awani