Gambar Cium Tular, Punca Jurugambar Dipecat


Jurugambar terkemuka Bangladesh, hari ini berkata beliau menjadi mangsa 'kezaliman tidak diingini' selepas dipecat berhubung imej pasangan bercium yang menimbulkan kekecohan media sosial di negara itu.

Portal berita Purboposhchimbd melaporkan, Jibon Ahmed 'tidak layak' untuk bekerja di syarikat berkenaan kerana keraguan sama ada imej bercium cuma lakonan.

Ahmed membantah dan mempertahankan diri, menegaskan beliau mempunyai bukti imej itu spontan dan berkata beliau dikritik jurugambar lain kerana imej berkenaan.

Dalam kenyataan di Facebook, Ahmed berkata beliau 'didedahkan kepada kezaliman tidak diingini' disebabkan gambar 'berpengaruh' itu.

"Saya tidak percaya dengan satu petikan akan menghasilkan banyak kisah.

"Hari ini, disebabkan gambar itu media sosial dan media perdana dibanjiri dengan berita palsu dan benar mengenai saya," katanya.

Pasangan itu dirakam bercium dalam musim hujan di tangga kampus Universiti Dhaka.

Beliau menyiarkannya, dengan keterangan 'Songs of rains' - biarkan cinta bebas', di laman Facebook ketika portal berita juga menggunakannya.

Gambar itu segera menjadi tular di Bangladesh.

Ia mengundang pujian media sosial kerana memberi petunjuk kepada kebebasan sosial.

Namun golongan konservatif mempersoalkan sama ada gambar itu melanggar peraturan adab sopan di khalayak ramai.

Pengulas media itu bertanya sama ada Ahmed mendapatkan kebenaran pasangan itu untuk menyiarkan gambar berkenaan. - Berita Harian Online