Tun Dr Mahathir Kembalikan Keyakinan Pelabur Jepun.


Kembalinya Tun Dr Mahathir Mohamad memegang jawatan Perdana Menteri selepas berakhirnya pilihan raya umum ke-14 bulan lepas, telah memulihkan kepercayaan pihak industri Jepun terhadap pasaran Malaysia, kata seorang pegawai tinggi Jepun hari ini.

Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa berkata, sejak tiga tahun lalu pihak industri Jepun teragak-agak untuk membuat pelaburan ekoran situasi politik dan ekonomi Malaysia.

"Laporan media beberapa tahun lalu tidak memberikan kami prospek yang baik untuk masa depan Malaysia, khususnya berkaitan kerjasama strategik, dasar perindustrian dan strategi ekonomi.

"Dengan kembalinya Tun Dr Mahathir, saya yakin pihak industri kami amat gembira dan positif untuk terlibat dengan industri di Malaysia," katanya di ibu pejabat Bernama di Kuala Lumpur.

Jepun adalah penyumbang pelaburan langsung asing (FDI) terbesar Malaysia. Tahun lepas, stok FDI ke Malaysia kira-kira US$13 bilion.

Miyagawa berkata dasar-dasar baharu yang diumumkan kerajaan Malaysia, mencerminkan negara sudah bersedia untuk menjaga "rumahnya secara lebih teratur" dengan melangsaikan hutangnya dan Jepun turut berminat bekerjasama dengan pentadbiran baharu itu.

Ujarnya lagi, Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe tidak sabar untuk bertemu Dr Mahathir semasa lawatannya ke Tokyo sempena Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia ke-24, dari 11 hingga 12 Jun.

Kedua-dua pihak kini merancang persiapan memandangkan ia lawatan pertama Dr Mahathir sejak mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia ketujuh bulan lepas.

Semasa menjadi Perdana Menteri keempat dari 1981-2003, Dr Mahathir memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur, yang telah mewujudkan tanda aras kepada hubungan dua hala Malaysia-Jepun.

Mengulas mengenai hasrat Dr Mahathir untuk menghidupkan semula dasar tersebut, Miyagawa berkata Abe dan kerajaan Jepun berharap ia dapat memperkukuhkan hubungan kedua-dua negara termasuk dalam perdagangan dan pelaburan.

"Jepun juga berhasrat menilai keberkesanan serta makna dasar itu selain bersedia untuk memperluaskannya," katanya, sambil menambah dengan situasi semasa yang positif, Jepun berharap kerjasama itu akan membantu meningkatkan sektor pekerjaan dan tahap teknologi Malaysia.

Mengenai keputusan pentadbiran Dr Mahathir membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur dan Singapura, di mana Jepun antara yang menyuarakan minat dengan projek itu, Miyagawa berkata beliau memahaminya dan menghormati keputusan tersebut.

Tambahnya, Jepun akan menunggu dan bersedia sekiranya pada masa hadapan Malaysia menimbang semula projek itu.

"Dengan hutang terkumpul begitu besar, saya fikir keutamaan Malaysia adalah untuk memastikan negara berada pada landasan yang betul dan apabila sudah bersedia, kami akan lebih gembira untuk terlibat dengan Malaysia sekali lagi," katanya.

Bila tiba masanya nanti, Miyagawa memberi jaminan Jepun akan tampil dengan cadangan yang akan mempertimbangkan pelbagai aspek termasuk pembangunan sumber manusia, pemindahan teknologi selain penglibatan bermanfaat dengan pihak industri di Malaysia dan Singapura. - Bernama