Skip to main content

Saksi Menjerit, Melakonkan Semula Detik Zulfarhan Osman Ditekap Seterika, Suasana Sayu Menyelubungi Mahkamah.


Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain apabila seorang saksi menjerit, melakonkan semula detik Zulfarhan Osman ditekap seterika dengan kaki dan tangannya diikat oleh rakan-rakan seuniversitinya, tahun lalu.

“Tolong!!!!! Panas!!!!!,” jerit Ahmad Senabil Mohamad, 22, penuntut tahun tiga jurusan Pengurusan Sumber Manusia Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM), sambil berdiri di kandang saksi selepas diminta Timbalan Pendakwa Raya Othman Abdullah untuk melakonkan detik itu pada prosiding perbicaraan hari ke-12, semalam.

Ahmad Senabil merupakan individu yang melihat Zulfarhan Osman ditekap dengan seterika wap di dalam bilik 4-10, asrama penginapan UPNM antara jam 4 pagi dan 6 pagi, 22 Mei 2017.

Terdengar istighfar ‘Allahuakhbar’, ‘astaghfirullah’ dari galeri awam yang dipenuhi keluarga mangsa, keluarga tertuduh, pihak media dan orang awam yang mengikuti prosiding perbicaraan itu.

Ibu Zulfarhan Osman juga kelihatan tidak mampu menahan sebak dan menangis mendengar jeritan itu.

Mengimbas kejadian itu, saksi pendakwaan ke-24 yang merupakan penghuni bilik 3-06, iaitu rakan sebilik Zulfarhan Osman berkata dia telah pergi ke bilik 4-10 tersebut pada kira-kira 12 tengah malam berkait kes kecurian komputer riba yang dikatakan membabitkan Zulfarhan Osman.

Di bilik itu, Abdoul Hakeem Mohd Ali, yang merupakan tertuduh keenam telah bertanyakan beberapa soalan kepada Zulfarhan Osman namun mangsa dikatakan memutar belit jawapan menyebabkan Abdoul Hakeem terus menumbuk perut mangsa sebanyak dua kali diikuti seorang lagi tertuduh iaitu Muhamad Danial Firdaus Azmir.

Ahmad Senabil berkata Abdoul Hakeem kemudian menyuruh Zulfarhan Osman membuka seluar dan terus menyambung memukul mangsa sebelum tidak lama kemudian lebih dari 10 individu lagi masuk ke bilik itu.

Saksi itu berkata selain memukul menumbuk dan menendang mangsa yang ketika itu hanya memakai seluar pendek ‘boxer’, Abdoul Hakeem turut memukul menggunakan penyangkut baju manakala Danial Firdaus menggunakan batang penyodok sampah.

Katanya ketika dipukul, Zulfarhan Osman memberitahu dia tidak mengambil komputer riba itu namun Abdoul Hakeem dan Danial Firdaus terus memukul mangsa.

Enam penuntut UPNM iaitu Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif Najmudin, Mohamad Shobirin dan Abdoul Hakeem mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Pertuduhan terhadap mereka, yang kesemuanya berusia 22 tahun, dibuat mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 13 lagi penuntut lain turut didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mang­sa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntuk hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 16 Ogos.- Bernama

Popular posts from this blog

Video: Pemandu Grab Mengamuk. Suami Maki Isteri Dalam Grab

Video tular memaparkan seorang lelaki warga asing dipercayai memarahi isterinya ketika berada di dalam kenderaan e-hailing Grab sehingga mencetuskan ketegangan dengan pemandu Grab yang turut naik berang. Video rakaman CCTV memaparkan detik pertengkaran antara seorang lelaki warga asing dengan pemandu Grab dipercayai berlaku selepas lelaki tersebut memarahi isterinya di dalam kenderaan e-hailing berkenaan. Rakaman itu turut menunjukkan suasana tegang apabila pemandu Grab bertindak mempertahankan wanita terbabit sebelum berlaku pertikaman lidah antara kedua-dua pihak. Video berkenaan kini tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi orang ramai. Antara komen orang awam yang tular di media sosial mengenai insiden tersebut ialah ramai yang meluahkan rasa marah terhadap tindakan lelaki berkenaan serta memuji pemandu Grab kerana campur tangan. Sebahagian netizen turut meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas, manakala ada yang bersimpati terhadap wanita dipercayai menjadi mangs...

1 Maut, 2 Cedera Dalam Insiden Tembakan Di Skudai

Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan insiden tembakan yang berlaku malam tadi di kawasan Taman Industri Jaya, Skudai sehingga mengakibatkan seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera. Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia, kejadian berlaku sekitar jam 11 malam dan pihak polis menerima maklumat berkaitan insiden tembakan melibatkan mangsa lelaki tempatan berusia 27 tahun. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di hadapan sebuah pusat hiburan di kawasan berkenaan. Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat terkena tembakan, manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan. Turut dipercayai terdapat seorang lagi individu cedera namun identitinya masih belum dikenal pasti selepas dibawa keluar dari lokasi oleh kenalannya. Polis kini sedang giat mengesan dua suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta t...

VIDEO TULAR: WANITA LOMPAT KELUAR DARI KENDERAAN SEDANG BERGERAK

KLANG: Seorang wanita mengalami kecederaan selepas terjun dari sebuah kereta yang sedang bergerak kerana didakwa berasa tidak selesa dengan seorang pemandu p-hailing. Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao, dalam satu kenyataan pada Sabtu (2 Mei), berkata pemandu berusia 47 tahun itu telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut selepas insiden pada 1 Mei. “Insiden berlaku di tengah jalan berhampiran sebuah stesen minyak di Taman Eng Ann ketika pengadu sedang membawa dua penumpang. “Tiba-tiba, salah seorang penumpang wanita membuka pintu belakang sebelah kanan dan terjun keluar ketika kenderaan masih bergerak. Pengadu segera memberhentikan kenderaan dan mendapati wanita tersebut mengalami kecederaan ringan akibat kejadian itu,” katanya. Siasatan mendapati wanita itu dipercayai berasa cemas dan takut akan keselamatannya kerana pemandu didakwa melihatnya melalui cermin pandang belakang tanpa sebab yang munasabah. Wanita itu kemudian dihantar ke sebuah ...