Powered by Blogger.

Saturday, June 30, 2018

Gambar Tular Di Media Sosial Ibu Bapa Kanak-Kanak Berusia 11 Tahun Tampil Beri Penjelasan.


Gambar tular di media sosial Ibu bapa budak perempuan berusia 11 tahun tampil memberi penjelasan bahawa beliau amat mengenali lelaki Malaysia itu.

Menurut laporan Malaysiakini, ibu bapa budak perempuan berusia 11 tahun merestui pernikahan anak mereka walaupun sebagai isteri ketiga kepada lelaki berusia 41 tahun di Sungai Golok, Thailand pada 18 Jun lepas, ketika umat Islam merayakan Aidilfitri.

Bapanya Mat Rashid Rimadsa, 49, warganegara Thailand, berkata beliau amat mengenali lelaki Malaysia itu, yang tinggal di Kampung Lalang, Kuala Betis, Gua Musang kerana selalu menjual getah tongkol (sekerap) kepadanya.

"Bagaimanapun, lelaki itu berjanji dengan saya untuk mendaftar pernikahan yang sah itu di Pejabat Agama Islam di Kelantan apabila (anak saya) Masaryu Mat Rashid mencapai umur 16 tahun. Sekarang, Masaryu tinggal bersama saya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Panggong Lalat di Gua Musang, Kelantan.

Mat Rashid dan keluarganya, yang kesemuanya rakyat Thailand, tinggal di Gua Musang dengan mengambil upah sebagai penoreh getah.
 

Beliau berkata menantunya, yang merupakan pembeli getah sekerap di kampung itu, datang memohon kebenaran untuk bernikah dengan anak perempuannya seminggu sebelum Aidilfitri lepas.

"Saya ada menceritakan kepada lelaki itu bahawa anak saya belum layak dijadikan isteri kerana masih mentah dan baru berumur 11 tahun, tetapi lelaki itu hendak juga dan berjanji nikah gantung dahulu yang menyebabkan saya bersetuju.

"Saya bersama isteri, Aminah Hitam, 41, mengiringi anak perempuan saya dan lelaki itu ke Sungai Golok, Thailand untuk menjadi wali pernikahan itu," katanya.

Nikah gantung bermaksud pernikahan yang berlaku di antara pasangan tetapi tidak duduk serumah dalam tempoh masa tertentu yang ditetapkan oleh kedua-dua pihak lelaki dan perempuan.

Mat Rashid berkata selepas selesai majlis nikah pada 2 petang hari berkenaan, beliau terus pulang ke Gua Musang bersama-sama isteri, anak dan lelaki itu kerana menantunya berjanji menunggu lima tahun lagi untuk mendaftar semula pernikahan berkenaan di Malaysia.
 

"Lelaki itu sanggup mengambil anak perempuan saya sebagai isteri kerana hendak membantu hidup saya yang miskin dan bergantung kepada upah menoreh getah," katanya.

Sementara itu, Masaryu berkata beliau mencintai lelaki pilihannya itu walaupun terpaksa bermadu dengan dua lagi isteri lelaki tersebut.

Beliau mengakui amat baik dengan kedua-dua isteri suaminya itu kerana sudah lama bersama mereka dan pernah pergi ke merata tempat bersama-sama.

"Saya terima apa jua keputusan kedua-dua ibu bapa dan suami supaya tunggu lima tahun baru boleh tinggal bersama kerana saya sedar usia saya baru 11 tahun," katanya yang juga tidak kisah dengan cakap-cakap orang ramai termasuk kisahnya yang viral dalam media sosial asalkan dapat hidup bahagia bersama-sama suaminya.

Sebelum ini, tular di media sosial apabila seorang wanita yang memuat naik di facebook miliknya yang mengucapkan selamat pengantin baru kepada suaminya serta madu barunya tetapi apa yang menarik perhatian adalah umur madunya itu.


Wanita tersebut yang dikenali sebagai Effa Zulkifle telah mengucapkan selamat pengantin baru kepada suaminya serta madu barunya yang baru berusia 11 tahun.

Rata-rata netizen mengecam hebat suaminya itu yang mengahwini seorang kanak-kanak di bawah umur dan layak di panggil anak kepadanya kerana suami Effa sudah pun berusia 41 tahun.

Effa bukan sahaja telah memuat naik ucapan tersebut malah Effa juga turut meluahkan apa yang terjadi di dalam kehidupan mereka suami isteri selama pernikahan mereka dan apa yang suaminya lakukan sebagai ketua keluarga.

Effa melalui luahannya dapat menggambarkan betapa tidak bertanggung jawabnya suaminya itu kerana tanggungjawabnya itu terhadap Effa serta empat orang anaknya itu pun tak dapat ditunaikan tapi sibuk nak kahwin lain.