Rosmah Tiada Mahu Polis Bocorkan Butiran Barang Rampasan.


Datin Seri Rosmah Mansor menggesa pihak berkuasa tidak membocorkan butiran yang diperolehi semasa siasatan dijalankan sehingga terdedah begitu pantas di media sosial.

"Ini, terutamanya, butiran mengenai barangan yang didakwa dirampas," kata Rosmah melalui kenyataan dikeluarkan bagi pihak beliau oleh firma guaman Valen, Oh & Partners kepada Malaysiakini hari ini.

Kata isteri Datuk Seri Najib Razak itu, keadaan tersebut berlaku ketika mereka berdepan dengan dugaan dan terus memberikan kerjasama kepada pihak yang berkenaan.

Menurut Rosmah, beliau dan keluarganya akan terus membantu siasatan pihak berkuasa.

Bagaimanapun katanya kebocoran butiran tersebut menyebabkan "keributan media" yang dilihat "disasarkan" kepada keluarga mereka bagi tujuan mencetuskan kemarahan orang ramai.

"Menjadi harapan kami supaya pihak berkuasa boleh memastikan kedaulatan undang-undang dipelihara dan dalam proses itu, mengelak berlakukan perbicaraan awam pramatang.

"Agensi penguat kuasa tidak sepatutnya menyalurkan bahan untuk persendaan media sosial, sebaliknya mematuhi dan menegakkan profesionalisme ketat pada setiap masa," kata Rosmah.

Polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman berada di rumah Rosmah dan Najib di Jalan Langgak Golf, Kuala Lumpur sejak kira-kira jam 10 malam Rabu lalu.

Sejak itu sejumlah barangan dirampas. Selain dari rumah berkenaan pihak berkuasa turut merampas pelbagai barang dari tiga unit kondominium di Pavilion Residence yang terletak di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur.

Semalam pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyampaikan notis kepada Najib supaya beliau hadir memberi keterangan pada Selasa ini.

Memetik sumber, Malaysiakini melaporkan perintah itu dibuat mengikut Seksyen 30 Akta SPRM 2009.

Kata sumber, keterangan Najib diperlukan bagi membolehkan SPRM meneruskan siasatan berhubung skandal anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd. - Malaysiakini