Ini Jawapan PAS Kepada UMNO, Setelah UMNO Meminta PAS Bergabung Dengan Mereka.


Semalam Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mempelawa PAS bergabung bagi membentuk kuasa lebih kukuh selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). 

Menurut laporan Harian Metro, PAS mempelawa ahli UMNO menyertai parti itu untuk membentuk gabungan yang kuat selepas parti berteraskan bangsa Melayu itu tewas besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) .

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu sentiasa membuka pintu kepada ahli UMNO untuk berbuat demikian kerana pada masa sama tidak mungkin parti itu akan membentuk kerjasama dengan UMNO.

"Saya sudah lama ajak mereka (UMNO) masuk PAS. Bila mereka sudah hilang kuasa pada PRU lalu, saya rasa sudah tiba masanya untuk mereka sertai PAS, bukan PAS yang akan sertai UMNO.

"Apa yang berlaku pada PRU lalu adalah kerana rakyat tolak Barisan Nasional (BN), jadi atas sebab itu kita buka pintu kepada BN dan UMNO untuk sertai PAS," katanya ketika ditemui selepas Majlis Himpunan Kesyukuran Pasca PRU-14 di Kompleks PAS Kedah di Alor Setar, malam semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bahawa UMNO dan PAS perlu bergabung dan membentuk kerjasama yang dapat memberikan cabaran kepada Pakatan Harapan (PH) dan dalam masa sama menjaga kepentingan Melayu.

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim menyatakan kesediaan PAS sekiranya dijemput untuk berada dalam jawatankuasa yang akan ditubuhkan kerajaan bagi melihat dan mengkaji semula peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

"Saya minta kerajaan kekalkan peranan Jakim selain mempertingkatkan jabatan itu. Jakim mendapat pengiktirafan dunia apabila cop halalnya diiktiraf seluruh dunia selain jabatan tersebut bertanggungjawab untuk menyelaras isu-isu agama Islam dan sistem perundangan negara," katanya.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai tawaran PAS kepada Pakatan Harapan untuk mewujudkan kerajaan gabungan di Kedah, beliau berkata perkara itu disuarakan bagi mengelak berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) berikutan isu perlantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Itu jalan keluar yang ada tetapi kalau mereka tidak terima kita sedia untuk hadapi PRN. Tetapi rakyat baru sahaja selesai mengundi jadi kalau boleh kita ingin elak PRN daripada berlaku, namun kita lihat sahaja keputusannya nanti," katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, timbul sedikit kesulitan berhubung pelantikan jawatan Speaker di DUN Kedah berikutan Pakatan Harapan (PH) yang membentuk kerajaan negeri memperoleh 18 kerusi DUN pada PRU-14, menyamai jumlah 18 kerusi yang dimiliki PAS dan BN iaitu masing-masing 15 dan tiga kerusi.

Semalam Tajuddin berkata, sudah tiba masanya UMNO dan PAS bergabung bagi membentuk kuasa lebih kukuh selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, hanya UMNO dan PAS yang boleh dikatakan sebagai parti politik Melayu dan perlu menubuhkan satu blok baharu yang kuat.

Katanya, walaupun mengakui kedua-dua parti itu mempunyai pertentangan dalam beberapa aspek namun ada beberapa persamaan pada asas perjuangannya.

“Kedua-dua parti ini meletakkan perjuangan Islam dan Melayu dengan jelas dalam perlembagaan parti.

“Saya nampak jika gabungan ini berjaya maka kepentingan kita akan terus terbela. Jika tidak bersama, maka sukar nak hadapi tentangan lawan,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa UMNO Bahagian Pasir Salak di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Pasir Salak, Pasir Salak, semalam.

Tajuddin berkata, realiti yang berlaku ialah UMNO dan PAS mendapat sokongan besar daripada pengundi Melayu dalam sejarah politik Malaysia.

“UMNO kena mengubah strategi dengan mencari rakan seperjuangan, malah perlu lebih cekap dalam menggunakan kaedah baharu selepas apa yang berlaku pada PRU-14.

“Jika terus nak tunjuk kehebatan masing-masing, kita tak akan berupaya lawan Pakatan Harapan (PH), tetapi jika melihat kemenangan kerusi PAS dan UMNO itu sendiri di negeri mahupun pusat, dua parti ini sebenarnya boleh menjadi gabungan kuat,”katanya.

Tajuddin berkata, kerjasama berlaku di antara dua parti politik orang Melayu itu kelak akan mampu membina kekuatan sebenar politik Melayu dan juga kestabilan politik negara secara menyeluruh. - Harian Metro