Skip to main content

Datuk Seri Anwar Ibrahim Cadang Kes Pembunuhan Altantuya Dibicarakan Semula.


Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican enggan mengulas kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencadangkan Sirul Azhar Umar dibawa pulang ke Malaysia untuk dibicarakan semula di mahkamah berhubung kes pembunuhan membabitkan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu.

Hasnal yang mewakili Sirul bagi kes berkenaan, berkata beliau tidak boleh memberikan sebarang komen ketika ini kerana kenyataan daripada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dilaporkan akhbar Australia, The Australian mengenai Sirul, yang juga bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu tidak berapa jelas.

"Saya tidak boleh memberikan komen kerana kenyataan Anwar itu tidak berapa jelas," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Hasnal juga enggan mengulas lanjut dengan maksud 'tidak berapa jelas' itu.

Sementara itu, ketika diminta mengulas satu lagi laporan akhbar Guardian yang mendakwa pelawat dari Malaysia, termasuk seorang daripada Pemuda UMNO yang bertemu dengan Sirul dua minggu lalu di Australia untuk menyampaikan pesanan; 'Jangan cakap apa-apa', Hasnal menegaskan berkata, beliau tidak tahu siapakah yang dimaksudkan itu.

"Saya tidak tahu siapakah Pemuda UMNO yang dikatakan bertemu dengannya (Sirul)," katanya yang juga peguam kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut laporan AFP, desakan supaya Sirul dibicarakan semula itu dibuat Anwar selepas sabitan terhadapnya atas tuduhan meliwat diampunkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, semalam.

Anwar memberitahu The Australian, keputusan hakim terhadap perbicaraan Sirul sebelum ini adalah 'terkompromi' dan keengganan hakim memanggil saksi dilihat seperti mempersendakan undang-undang dan cara terbaik adalah dengan memberikan pertuduhan baharu dan membenarkan perbicaraan penuh terhadap kes itu.

Altantuya dikatakan mempunyai hubungan dengan Abdul Razak Baginda, rakan rapat Najib, yang dituduh mengatur sogokan untuk pembelian kapal selam Perancis pada 2002.

Seteru Najib mendakwa, Sirul dan seorang lagi rakan subahat, Azilah Hadri, kedua-duanya dari UTK yang berperanan melindungi Menteri, dipersalahkan dalam pembunuhan itu bagi menyembunyikan pembabitan 'tuan' mereka di peringkat tertinggi kerajaan.

Sirul sebelum ini mengancam untuk mendedahkan orang yang memberi arahan itu.

Skandal pembunuhan itu antara topik sensitif yang diperkatakan di negara ini kerana wanita terbabit disyaki dibunuh untuk menutup mulut berhubung urusan jual beli kapal selam Perancis.

Mayat wanita Mongolia, Altantuyaa, 28, ditemui dalam keadaan mengerikan dengan cebisan daging daripada anggota badannya bertebaran di Hutan Simpan Puncak Alam, Shah Alam, Selangor berhampiran Empangan Tasik Subang.

Mangsa dipercayai diletupkan antara jam 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Azilah dan Sirul ditahan kerana didakwa terbabit dengan kejadian dan kedua-dua mereka dibicarakan sebelum dijatuhi hukuman gantung sampai mati. Azilah kini dipenjarakan di Penjara Kajang, manakala Sirul melarikan diri ke Australia. - Berita Harian Online

Popular posts from this blog

Video: Pemandu Grab Mengamuk. Suami Maki Isteri Dalam Grab

Video tular memaparkan seorang lelaki warga asing dipercayai memarahi isterinya ketika berada di dalam kenderaan e-hailing Grab sehingga mencetuskan ketegangan dengan pemandu Grab yang turut naik berang. Video rakaman CCTV memaparkan detik pertengkaran antara seorang lelaki warga asing dengan pemandu Grab dipercayai berlaku selepas lelaki tersebut memarahi isterinya di dalam kenderaan e-hailing berkenaan. Rakaman itu turut menunjukkan suasana tegang apabila pemandu Grab bertindak mempertahankan wanita terbabit sebelum berlaku pertikaman lidah antara kedua-dua pihak. Video berkenaan kini tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi orang ramai. Antara komen orang awam yang tular di media sosial mengenai insiden tersebut ialah ramai yang meluahkan rasa marah terhadap tindakan lelaki berkenaan serta memuji pemandu Grab kerana campur tangan. Sebahagian netizen turut meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas, manakala ada yang bersimpati terhadap wanita dipercayai menjadi mangs...

1 Maut, 2 Cedera Dalam Insiden Tembakan Di Skudai

Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan insiden tembakan yang berlaku malam tadi di kawasan Taman Industri Jaya, Skudai sehingga mengakibatkan seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera. Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia, kejadian berlaku sekitar jam 11 malam dan pihak polis menerima maklumat berkaitan insiden tembakan melibatkan mangsa lelaki tempatan berusia 27 tahun. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di hadapan sebuah pusat hiburan di kawasan berkenaan. Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat terkena tembakan, manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan. Turut dipercayai terdapat seorang lagi individu cedera namun identitinya masih belum dikenal pasti selepas dibawa keluar dari lokasi oleh kenalannya. Polis kini sedang giat mengesan dua suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta t...

VIDEO TULAR: WANITA LOMPAT KELUAR DARI KENDERAAN SEDANG BERGERAK

KLANG: Seorang wanita mengalami kecederaan selepas terjun dari sebuah kereta yang sedang bergerak kerana didakwa berasa tidak selesa dengan seorang pemandu p-hailing. Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao, dalam satu kenyataan pada Sabtu (2 Mei), berkata pemandu berusia 47 tahun itu telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut selepas insiden pada 1 Mei. “Insiden berlaku di tengah jalan berhampiran sebuah stesen minyak di Taman Eng Ann ketika pengadu sedang membawa dua penumpang. “Tiba-tiba, salah seorang penumpang wanita membuka pintu belakang sebelah kanan dan terjun keluar ketika kenderaan masih bergerak. Pengadu segera memberhentikan kenderaan dan mendapati wanita tersebut mengalami kecederaan ringan akibat kejadian itu,” katanya. Siasatan mendapati wanita itu dipercayai berasa cemas dan takut akan keselamatannya kerana pemandu didakwa melihatnya melalui cermin pandang belakang tanpa sebab yang munasabah. Wanita itu kemudian dihantar ke sebuah ...