JAKARTA: Hanya kerana tidak menyahut teguran seorang polis senior di sesi ‘live’ sebuah laman sosial Instagram, empat orang kadet polis telah dibelasah dengan teruk sebagai balasan.
Kejadian ini dikatakan berlaku di Gorontalo, Indonesia telah menarik perhatian netizen di mana mereka telah mengecam tindakan senior terbabit yang telah menampar dan menerajang juniornya berkali-kali sehingga ada yang termuntah.
Menurut Ketua Polis Biro Penerangan Masyarakat, Mohammad Iqbal, kejadian itu dipercayai bermula apabila salah seorang mangsa dikatakan sedang mengadakan sesi ‘live’ menerusi akaun Instagram miliknya pada 28 Februari lepas.
“Pada waktu itu, mangsa masih berstatus pelajar di Sekolah Polis Negara (SPN). Suspek yang menegur di ruangan komen pada waktu itu tidak disambut dan itu menimbulkan dendam terhadap suspek.”
“Pada malam 10 Mac, suspek meminta mangsa untuk datang ke rumahnya bersama tiga rakan lain. Saat mereka tiba di rumah suspek, merek dipukul dengan kejam,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, laporan mengenai kejadian ini dipercayai masih lagi berada dalam siasatan pihak polis.
Terdahulu, video yang dirakam dengan jelas di mana ianya menunjukkan empat orang anggota polis junior dipukul di bahagian badan mereka serta turut ditampar telah menjadi viral di media sosial.
Bagaimanapun, salah seorang mangsa yang tidak dapat menerima kenyataan mengenai kejadian itu terus bertindak membuat laporan kepada pihak atasan supaya tindakan segera dapat diambil. Sumber: Astro Awani, Editor: Maya