Misteri Penemuan Mumia Tollund Man


Banyak penemuan telah ditemui oleh para pengkaji yang mana membawa satu impak yang baru dalam dunia yang serba moden ini.

Penemuan tersebut boleh diklasifikasikan sebagai satu penemuan yang hebat di samping dapat mengetahui serba sedikit sejarah yang terungkai di sebaliknya.

Salah satu penemuan yang dapat mencetuskan penemuan baru adalah mumia.

Mumia seringkali dikaitkan dengan sejarah Mesir di mana kebanyakan raja-raja Mesir yang terdahulu ditanam dimumiakan mayat mereka supaya ianya tidak reput dan hilang ditelan zaman.

Kebanyakan para saintis sangat gemar meneroka mumia di mana kebanyakan mereka menemui mumia dalam keadaan yang masih kekal terpelihara jasadnya dan yang menarik, kebanyakan penemuan misteri ini berusia lebih seribu tahun lantas membingungkan ramai pengkaji dan saintis moden.

Antara penemuan mumia yang menarik adalah mumia Tollund Man di sebuah kawasan berpaya di Bjældskovda, iaitu kira-kira 10 kilometer dari Silkeborg, Denmark.

Mumia Tollund Man telah ditemui pertama kali oleh dua orang adik beradik, Viggo dan Emil Højgaard pada 6 Mei 1950.

Pada mulanya, mereka beranggapan bahawa ia adalah mayat mangsa yang mungkin terlibat dalam pembunuhan yang berlaku beberapa hari sebelum itu memandangkan semua bentuk fizikal mumia terbabit kelihatan begitu sempurna sekali.

Berdasarkan cerita, penemuan mumia Tollund Man ini berlaku secara tidak sengaja kerana pada ketika itu adik beradik Højgaard dan keluarganya sedang menggali di sekitar paya tersebut bagi mendapatkan tanah gambut untuk dijadikan bahan bakar.

Tanah gambut sudah menjadi satu kebiasaan bagi masyarakat di negara-negara Eropah yang mana mereka menjadikan ia sebagai sumber bahan bakar bagi menggantikan kayu api.

Sebelum penemuan mumia Tollund Man, dikhabarkan bahawa telah berlaku beberapa penemuan mumia di kawasan tersebut iaitu sekitar tahun 1927.

Namun, penemuan terbabit tidak mendapat perhatian umum serta tiada sebarang kajian saintis yang dilakukan terhadap mumia tersebut.

Penemuan seterusnya pula adalah pada tahun 1938 iaitu penemuan mumia wanita di dasar paya gambut tersebut.

Kali ini, penemuan mumia tersebut berjaya mendapat perhatian ramai kerana kesempurnaan jasadnya dan diberi nama Elling Woman.

Jasad diangkut

Mumia Tollund Man telah diangkut dan dipindahkan secara berhati-hati setelah bersemadi di paya tersebut lebih daripada 2,000 tahun.

Bagi mengekalkan keasliannya, jasad mumia diangkut dengan menggunakan kotak kayu yang dibina terlebih dahulu menggelilingi Tollund Man dan sesiapa pun tidak dibenarkan untuk menyentuhnya.

Kumpulan yang terlibat dalam proses pemindahan ini adalah daripada adik-beradik Højgaard, kakitangan Muzium Silkeborg dan juga dua orang anggota polis.

Berat kotak kayu itu dianggarkan adalah setengah tan dan mereka juga turut menggunakan sebuah kereta kuda untuk membawanya ke stesen kereta api di Moselund sebelum dibawa ke Muzium Kebangsaan Denmark di Copenhagen.

Mendapat liputan media

Akhbar-akhbar tempatan yang teruja dengan penemuan terbabit berpusu-pusu datang membuat liputan tentang penemuan mumia Tollund Man dengan sebahagian akhbar turut menggelarnya sebagai lelaki dengan panggilan “lelaki itu dari Moselund, Bogville“, sedangkan akhbar lain berpendapat ia adalah seorang wanita.

Walaubagaimanapun, nama Tollund Man digunakan secara rasmi setelah mendapat cadangan dari ahli arkeologi, P. V Glob.

Cadangan nama itu adalah bersandarkan kepada kampung halaman dua adik beradik Højgaard yang berasal dari Tollund.

Ciri-Ciri Tollund Man

Tollund Man dianggarkan memiliki ketinggian 1.61 meter atau 5 kaki 3 inci dan ketinggian ini dianggap rendah berbanding purata ketinggian masyarakat Eropah ketika itu.

Umurnya pula dianggarkan berumur sekitar 40-an berdasarkan hasil pemeriksaan giginya.

Pemeriksaan X-ray juga menunjukkan beberapa organ utama Tollund Man seperti otak, jantung, limpa dan paru-paru terawet dengan sempurna secara semulajadi.

Tollund Man dipercayai telah bersemadi pada kedalaman 2 meter iaitu 6.6 kaki dan 50 meter daripada tanah lapang di sekitar paya.

Ramai saintis berpendapat bahawa jenazah Tollund Man pada mulanya dikebumikan pada kedalaman kurang daripada 1 meter.

Namun, setelah beribu-ribu tahun telah berlalu, timbunan tanah gambut dan lumut telah menyebabkan kedalamannya mencecah sekitar 2 meter.

Dalam pada masa yang sama, jasad Tollund Man ditemui dalam keadaan meringkuk ke sebelah kiri sepertimana janin di dalam rahim ibu dan turut kelihatan dia memakai topi kulit yang diperbuat daripada kulit biri-biri dan diikat dengan tali ke dagunya.

Tollund Man ditemui dalam keadaan tidak berpakaian dan terdapat tali pinggang di bahagian pinggangnya dan rambutnya juga kelihatan pendek.

Cap Jari

Tollund Man telah terawet dengan cukup baik selama 2,000 tahun.

Tidak seperti mumia di Mesir yang terawet secara buatan manusia, mumia Tollund Man dipercayai telah terawet secara semulajadi.

Kesan daripada pengawetan semulajadi ini, Tollund Man masih lagi mempunyai cap jari.

Berikutan daripada perkara itu, pada 1978, National Police Force telah mengambil cap jarinya dan ini menjadikan Tollund Man sebagai manusia yang memiliki cap jari tertua di dunia.

Berusia 2,000 tahun

Di bawah badan Tollund Man turut ditemui lapisan nipis lumut dan para saintis percaya bahawa lapisan lumut itu sudah sedia wujud di paya lumut di Denmark sejak awal zaman Besi kira-kira 2,000 tahun yang lampau. Ini bermakna Tollund Man telah bersemadi lebih kurang 2,000 tahun yang lampau.

Teknologi pentarikhan Karbon-14 juga turut menyokong hipotesis awal mengenai perkara ini di mana hasil pentarikhan Karbon-14 menunjukkan Tollund Man telah meninggal dunia lebih kurang 375 hingga 210 Sebelum Masihi.
Makanan Terakhir

Perut dan usus Tollund Man telah diselidik dan diperiksa dengan cukup teliti bagi mendapatkan maklumat mengenai diet serta pemakanan yang diamalkannya sejak 2,000 tahun yang lampau.

Akhirnya, para saintis berjaya membuat kesimpulan bahawa lelaki ini telah mengamalkan bubur sayuran dan bijian sebagai makanan utamanya sebelum sempat dinyahtinjakan.

Selain daripada itu, para penyelidik juga turut menemui biji barli, biji rami, knotweed (sejenis bijian daripada tumbuhan di Eropah), Bristlegrass dan biji kekwa di dalam ususnya.

Saintis juga turut gagal menemui sebarang makanan berasaskan daging dalam tubuh lelaki terbabit meskipun rata-rata masyarakat pada zaman tersebut menjadikan daging sebagai diet utama mereka.

Sebab Kematian

Satu perkara yang memeranjatkan ditemui di mana penemuan tali yang melingkari Tollund Man.

Tali yang diperbuat daripada kulit haiwan yang dianyam dipercayai digunakan untuk membunuh lelaki Tollund Man.

Saintis turut tidak menolak dakwaan bahawa terdapat tanda-tanda kekasaran terhadap jasad Tollund Man.
Kematian disebabkan oleh Upacara Korban

Masyarakat Eropah merupakan sebuah masyarakat yang sangat berpegang teguh kepada ajaran Animisme, di mana upacara pengorbanan manusia adalah cukup sinonim bagi mereka.

Bersandarkan kepada tali gantung yang ditemui, saintis berpendapat bahawa Tollund Man berkemungkinan besar telah dijadikan korban untuk dewa-dewa yang disembah oleh mereka.

Walaubagaimanapun, ramai penyelidik menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.

Jasad Tollund Man dikatakan tidak memiliki ciri-ciri sepertimana mangsa upacara korban kerana kebiasaanya jasad manusia yang dikorbankan memiliki kesan trauma di bahagian tempurung kepala dan kesan hirisan pisau di leher.

Penafian ini diambil kira melalui tulang-tulang manusia yang ditemui di sekitar benua Eropah dan Amerika Selatan yang memiliki kesan trauma yang agresif.


Kematian disebabkan oleh Tali Gantung
Semasa pemeriksaan semula dilakukan pada tahun 2002, saintis forensik mendapati bahawa Tollund Man berkemungkinan menjadi mangsa pembunuhan di tali gantung.

Walaupun saintis mendapati bahawa tulang vertebra tidak mengalami sebarang kerosakan sepertimana yang lazim berlaku kepada kematian di tali gantung, tetapi kesan pembengkakan lidah yang ketara menyokong idea ini.

Pembengkakan pada organ lidah secara normalnya dikenalpasti sebagai kesan kepada penggunaan tali yang menjerut leher mangsa.
Siapa Tollund Man?

Persoalan mengenai identiti sebenar Tollund Man ini sangat rumit untuk dirungkai dan menyebabkan timbulnya pelbagai teori berkenaan identiti sebenar Tollund Man.

Tollund Man seorang penjenayah

Saintis tidak pernah menafikan bahawa ada berkemungkinan besar Tollund Man adalah seorang penjenayah yang telah dihukum gantung sehingga mati.

Individu yang digelar Tollund Man mungkin telah melakukan kesalahan besar dan dihukum gantung oleh masyarakat setempat.

Namun, teori yang mengatakan Tollund Man adalah seorang penjenayah ditentang hebat oleh beberapa pihak.

Sekiranya Tollund Man adalah seorang penjenayah, tidak mungkin jasadnya dalam keadaan baik.

Untuk menguatkan lagi teori tersebut, Tollund Man juga telah disemadikan dengan baik, di mana mata dan mulutnya ditutup dengan rapat.
Tollund Man seorang pendakwah?

Teori ini lebih mencabar institusi keagamaan di Eropah di mana Tollund Man berkemungkinan besar telah menyebarkan risalah keagamaan di sana.

Disebabkan keadaan masyarakat Eropah yang cukup kuat dengan pegangan ajaran jahiliyyah, mereka dikatakan bertindak menangkap Tollund Man dan kemudian menyeksanya dengan hukuman gantung.

Adakah Tollund Man seorang Rasul?

Rasulullah SAW telah bersabda bahawa Nabi dan Rasul masing-masing memiliki keistimewaan yang tersendiri di mana jasad mereka tidak akan sekali-kali di mamah bumi.

Jasad mereka akan sentiasa kekal terpelihara sehingga datangnya Hari Kebangkitan kelak. Apa yang berlaku kepada Tollund Man amatlah bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW.

Kesemua ini berlaku atas kehendak Allah s.w.t.

Saintis menyatakan dalam kajian mereka bahawa Tollund Man terawet akibat kekurangan oksigen dan tanah yang cukup berasid.

Tanah gambut sememangnya terkenal sebagai tanah yang berasid namun, tanah gambut juga terkenal sebagai tanah yang lembap dan berair.

Bukankah kelembapan adalah agen utama pereputan? Inilah yang dinamakan kehendak Allah S.W.T. Tiada apa yang mustahil bagi-Nya.

Tollund Man ditentang, diseksa dan dibunuh?

Di dalam al-Quran, Allah s.w.t berfirman, "Maka tatkala datang kepada mereka rasul-rasul (yang di utus kepada) mereka dengan membawa keterangan-keterangan, mereka merasa senang dengan pengetahuan yang ada pada mereka dan mereka dikepung oleh azab Allah yang selalu mereka perolok-olokkan itu." (Surah Al-Mu’min ayat 83)

Penjelasan Allah S.W.T di dalam surah tersebut amat selari dengan apa yang berlaku kepada Tollund Man.

Sebagai seorang pendakwah yang bertanggungjawab menyebarkan risalah tauhid kepada masyarakat setempat, beliau terpaksa berdepan dengan pelbagai karenah kaumnya.

Tidak mudah bagi seorang Rasul untuk menyebarkan sesuatu yang bertentangan dengan pegangan kaum mereka melainkan beliau sendiri akan ditangkap dan diseksa.

Insiden seperti ini telah diulang tayangkan oleh Allah S.W.T kepada kita hanya semata-mata untuk kita berfikir dan mengkaji.
Utusan Allah

Umum mengetahui bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa Rasul dan Nabi telah diutuskan kepada umat manusia di setiap tamadun sejak daripada Adam a.s. adalah masing-masing berjumlah 313 dan 240,000 orang.

Melihat kepada jumlah tersebut, adalah tidak mustahil untuk menolak dakwaan bahawa Tollund Man adalah salah seorang utusan Allah S.W.T untuk kaumnya di Eropah 2,000 tahun yang lampau.

Ciri-ciri Istimewa Tollund Man

Selain daripada jasadnya yang terpelihara, beberapa ciri Tollund Man juga boleh dianggap sebagai utusan Allah SWT.

Daripada raut wajah Tollund Man, kita boleh mengenali bahawa Tollund Man semasa hayatnya adalah seorang yang dihormati dan dipercayai oleh masyarakat.

Garis pada dahi menunjukkan beliau seorang yang alim. Mata beliau ditutup dengan kemas namun tidak menunjukkan beliau cukup terseksa dengan kematiannya. Bibirnya yang mengukir sedikit senyuman itu jelas menunjukkan bahawa ia adalah ciri-ciri paling utama menunjukkan keimanan seseorang individu. Rambut beliau juga tidak panjang manakala janggut dan misai juga menunjukkan beliau memiliki ciri-ciri seseorang yang sangat tertib.

Wajah dan senyuman Tollund Man tidak memungkinkan beliau layak digelar seorang penjenayah melainkan beliau adalah seorang yang mempunyai jiwa dan rohani yang cukup besar.

Seperkara lagi yang memyelubungi misteri Tollund Man adalah cara pengebumiannya. Tollund Man dikebumi dengan baik di dalam tanah, mirip kepada tradisi ajaran tauhid dan monoteisme yang mengebumikan jenazah ke dalam tanah.

Namun, adat masyarakat Eropah 2,000 tahun yang lampau adalah bertentangan dengan kaedah tradisi penganut ajaran tauhid di mana mereka akan membakar mayat sebelum abunya ditempatkan di sebuah ‘kubur’. Kubur tersebut masih lagi boleh dilihat di sekitar kawasan Silkeborg.

Sebagai perbandingan, beberapa mumia seperti Mumia Chauchilla dilihat agak menyeramkan. Mulut dan matanya terbuka luas seakan-akan menahan sesuatu kesakitan yang luar biasa. Begitu juga dengan mumia Firaun Ramses II.

Perbandingan ini menunjukkan ada sesuatu yang istimewa terdapat pada mumia Tollund Man berbanding mumia-mumia yang lain. Editor: Amira