5 Orang Ditahan, Dera Budak Perempuan Berusia 4 Tahun Hingga Maut.



PETALING JAYA - Seramai lima individu ditahan dipercayai menyebabkan kematian kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun di atas tuduhan didera oleh keluarga angkatnya di Jalan PJS 8/14 di sini.

Tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 23 dan 57 ditahan pada pukul 9 malam Sabtu, kata Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zaini Che Din.

Mangsa yang berketurunan Indonesia dibawa ke Hospital Sungai Buloh dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia pada pukul 4.30 petang, katanya.

Tambah beliau lagi, laporan polis telah dibuat oleh jirannya, doktor bertugas dan pengasuh yang membawa mangsa ke hospital.

Mohd Zaini berkata, jiran keluarga itu mendakwa terdengar tangisan budak perempuan dan seorang perempuan menjerit meminta kanak-kanak itu diam.

Namun ada jiran lain yang turut memberitahu Mohd Zaini bahawa mereka menyedari terdapat kesan pada badan mangsa dan dia berjalan tidak seimbang.

Jelasnya, kesemua lima suspek tersebut telah direman dan kes disiasat mengikut di bawah Seksyen  31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Sumber: MStar Online. Ediotr: Atila Atasha