VIDEO Angkara bunyikan hon, 3 gajah mengamuk serang kereta di Gerik


Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila keretanya diserang sekumpulan gajah ketika memandu di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, dalam kejadian pada 8.15 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 11.36 malam daripada pemandu berusia 38 tahun.

Siasatan di lokasi kejadian mendapati pemandu itu telah ternampak sekumpulan gajah sedang melintas lalu memberhentikan kenderaan dan mematikan lampu.

Namun, dia terdengar bunyi hon dari kenderaan di belakang dan secara tiba-tiba tiga ekor gajah menghampiri keretanya.

Pemandu tersebut bertindak keluar dari keretanya, dan akibat kejadian, kereta mangsa mengalami kerosakan teruk.