Skip to main content

Siti Bainun Dihantar Ke Penjara Kajang

Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali terpaksa meringkuk di Penjara Kajang bermula hari ini untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.

Hakim Izralizam Sanusi berkata tiada keadaan khas dan luar biasa bagi membolehkan mahkamah membenarkan penggantungan pelaksanaan hukuman.

"Tertuduh disabitkan bersalah di mahkamah ini dan tiada sebab untuk saya menangguhkan hukuman penjara yang dijatuhkan terhadapnya. Faktor bahawa tertuduh menjaga ibunya adalah perkara peribadi tertuduh.

"Dalam kes ini, saya berpendapat keadilan dapat disampaikan sebaik-baiknya melalui pelaksanaan hukuman dengan serta-merta dan oleh itu, permohonan tertuduh ditolak dan mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dengan serta-merta," katanya.

Terdahulu, beliau menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun selepas mendapati dia bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella.

Siti Bainun, 31, yang memakai blaus berwarna kuning cair dan berseluar hitam dilihat tenang semasa mahkamah membuat keputusan itu.

Dalam permohonan itu, peguam Mohammad Farhan Maaruf berhujah Siti Bainun tidak pernah disabitkan dengan mana-mana kesalahan jenayah dan kesalahan yang dipertuduh ke atasnya di mahkamah ini merupakan yang pertama.

“Dia tidak pernah melanggar sebarang syarat jaminan selain tiada risiko untuk melarikan diri memandangkan pasportnya telah diserahkan kepada mahkamah sejak kes bermula.

“Anak guam saya juga dikenakan ikat jamin yang tinggi iaitu sebanyak RM17,000 dan dia sentiasa menghadiri prosiding berkenaan.

"Sekiranya penggantungan pelaksanaan hukuman ini tidak dibenarkan maka rayuan anak guam saya ke Mahkamah Tinggi akan menjadi sia-sia dan status quo tertuduh tidak dapat dikekalkan sama sekali memandangkan tertuduh perlu menjalani hukuman terlebih dahulu,” katanya sambil menambah Siti Bainun mempunyai masalah kesihatan iaitu asma dan penyakit hempedu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria berkata tiada keadaan khas dan istimewa yang membolehkan mahkamah membenarkan pemohonan itu.

“Tertuduh telah dibebaskan sementara dengan ikat jamin sejak awal pendakwaan dan hanya selepas mahkamah mensabitkan kesalahan, barulah dia dijatuhi hukuman penjara maka kami mohon penangguhan ditolak,” katanya.

Nor Azizah Mohamad, yang membantu Zahida, pula berkata alasan peguam bahawa tertuduh perlu menanggung ibu yang sakit tidak boleh dijadikan faktor khas kerana bukan individu itu yang dituduh di mahkamah sebaliknya Siti Bainun.

“Alasan peguam menyatakan tertuduh aktif dalam kerja amal namun dalam kes ini, terbukti dia berselindung di sebalik kerja amal sehingga dituduh serta disabitkan kesalahan.

“Peguam juga memberi alasan bahawa tertuduh menggunakan isu masalah kesihatan sedangkan kemudahan perubatan di penjara Malaysia tersedia setiap masa,” katanya.

Terdahulu, Izralizam menjatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi kesalahan mengabai dan 12 tahun bagi kesalahan menganiaya namun Siti Bainun hanya perlu meringkuk dalam penjara selama 12 tahun selepas mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak bermula hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.

Siti Bainun juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Dia didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Selepas mahkamah mengumumkan keputusan itu, beberapa ahli keluarga Siti Bainun yang berada di galeri awam dilihat berpelukan dan menangis.

Sementara itu, kedengaran laungan Allahu Akbar oleh penyokong Bella yang hadir pada prosiding hari ini. - Bernama

Popular posts from this blog

Konflik dalaman keluarga punca suami kelar isteri, bakar 4 kenderaan di rumah mentua

TANGKAK – Polis mengesahkan bahawa punca seorang suami mengelar isterinya sehingga maut berpunca daripada konflik dalaman keluarga yang dihadapi pasangan tersebut. Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, pada mulanya pihak polis menerima laporan berkaitan kejadian kebakaran melibatkan empat buah kenderaan. Bagaimanapun, suspek yang dibawa ke balai polis kemudian memaklumkan bahawa isterinya telah meninggal dunia di kediaman mereka di Bukit Gambir. “Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota polis telah digerakkan ke rumah suspek dan mendapati isteri suspek telah meninggal dunia dengan kesan kelar pada leher. “Mayat mangsa ditemui dalam keadaan berselubung dan sebilah pisau berlumuran darah yang dipercayai digunakan dalam kejadian turut dijumpai berhampiran wanita tersebut,” katanya ketika dihubungi pada Rabu. Beliau turut memaklumkan bahawa hasil ujian air kencing terhadap suspek didapati negatif daripada sebarang pengaruh dadah. Sebelum ini, katanya, s...

VIDEO: Kena Serang Dihadpan Rumah Kena Pukul Depan Bini

Alor Setar, 20 April — Seorang individu mendakwa telah diserang oleh beberapa individu dalam satu kejadian yang berlaku sekitar jam 7 petang di hadapan rumahnya di Taman Mas Merah, Alor Setar, Kedah. Menurut mangsa, insiden tersebut berpunca daripada salah faham dan ketidakpuasan hati suspek selepas mangsa menegur isteri salah seorang pelaku berhubung tindakan memotong kenderaan secara mengejut untuk memasuki simpang. Kejadian itu berlaku di hadapan ahli keluarga mangsa dan bukan sahaja menyebabkan kecederaan fizikal, malah meninggalkan trauma yang mendalam. Mangsa menyifatkan kejadian tersebut sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku kepada sesiapa, apatah lagi di kawasan kediaman sendiri yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat. Rakaman kejadian melalui kamera litar tertutup (CCTV) telah diperoleh dan satu laporan polis telah dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Mangsa turut memaklumkan bahawa semua bukti berkaitan telah diserahkan dan beliau bersedia memberi kerjasa...

Tular Video Bomba Selamatkan Mangsa Bas Yang Meragut Nyawa 15 (UPSI)

Terdahulu, dilaporkan bahawa 15 pelajar terbunuh dalam satu kemalangan membabitkan sebuah bas pelajar dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di sepanjang Lebuhraya Timur-Barat (Jalan Raya Timur Barat) awal pagi ini. Bas berkenaan sedang dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu ke kampus utama universiti tersebut