Video Tular: Dua Pelajar Ditahan Polis


SEREMBAN: Polis menahan dua pelajar lelaki bagi membantu siasatan kes pergaduhan di perkarangan sebuah sekolah menengah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim, berkata kedua-dua suspek berusia 14 tahun ditahan sejurus mangsa yang juga pelajar Tingkatan Dua sekolah sama, membuat laporan.

"Dua pelajar berumur 14 tahun ditahan pada hari yang sama dan kedua-dua mereka dibebaskan dengan jaminan polis pada sebelah petangnya.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku pada 30 September lalu iaitu selepas waktu sesi persekolahan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Terdahulu tular satu video melalui aplikasi WhatsApp yang berdurasi 30 minit memaparkan seorang pelajar dipukul oleh dua orang pelajar yang lain sebelum ianya tular di media sosial Facebook hari ini.