Bayi Hidap Penyakit Hati Di Luar, Mohon Bantuan Orang Ramai


KUALA NERANG - Seorang penoreh getah di Kampung Perik di sini mengharapkan bantuan bagi meringankan kos rawatan dan keperluan anak bongsunya yang menghidap penyakit 'extracorporeal liver' atau hati berada di luar.

Sanudin Ibrahim, 46, berkata, Muhammad Ammar yang berusia tiga bulan merupakan anak kelimanya, dilahirkan secara pembedahan kerana tidak cukup bulan, malah menghidap penyakit jantung berlubang dan tidak mempunyai cuping telinga kanan.

Menurutnya, pendapatannya yang tidak menentu sekitar RM600 sebulan sedikit sebanyak memberi tekanan dalam menyediakan kos untuk bertemu pakar perubatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada setiap sebulan.

"Saya juga ambil upah kerja kampung seperti memesin rumput dan jadi buruh bina rumah untuk tampung pendapatan. Apabila musim hujan, memang pendapatan saya makin berkurang.

"Pada Isnin ini, anak saya perlu dirujuk ke pakar HSB bagi melihat keadaannya. Namun, pembedahan untuk memasukkan hati ke dalam badan masih belum dimaklumkan oleh doktor," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Sementara itu, isteri Sanudin, Norliza Mohd Saad, 35, berkata, anaknya itu dibenarkan pulang daripada hospital pada 29 September lalu dan perlu diberikan perhatian rapi termasuk membersihkan hati sebanyak dua kali sehari.

Norliza (kiri) memangku Muhammad Ammar, manakala Sanudin menunjukkan surat rawatan anaknya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Perik, Kuala Nerang hari ini.

Menurutnya, suhu rumahnya yang panas menyebabkan anaknya itu tidak selesa terutama menjelang tengah hari dan petang.

"Selepas dilahirkan, dia terus tinggal di hospital tetapi di sana dilengkapi hawa dingin. Bila balik ke rumah, suhu rumah jauh berbeza. Itu membuatkan dia tidak selesa dan menangis. Nak pasang pendingin hawa, kami tidak mampu," katanya.

Norliza yang merupakan suri rumah berkata, dia turut menghidap penyakit kencing manis sejak tujuh tahun lalu dan perlu disuntik insulin setiap hari yang dilakukan sendiri.

"Sebelum ini saya bekerja sebagai pembantu kedai makan dan mendapat gaji sebanyak RM20 sehari.

Tapi sekarang perlu berada di rumah untuk memberi tumpuan kepada Ammar," katanya.

Selain itu, katanya, anak ketiga mereka, Amni Qaisara, 3, turut menghidap penyakit jantung berlubang dan merupakan penerima bantuan zakat bulanan sebanyak RM200.

Katanya, Amni Qaisara juga perlu dirujuk ke Hospital Pulau Pinang setiap tahun dan HSB setiap enam bulan.

"Kami juga mempunyai tiga anak lagi yang bersekolah. Bagaimanapun, syukur ada yang membantu anak sulung kami untuk belajar di sekolah agama.

"Wang yang ada memang tidak cukup dan kami cuba berjimat. Agak lega sedikit apabila adik-beradik ada juga yang bantu walaupun mereka juga mempunyai komitmen dengan keluarga masing-masing," katanya.

Sementara itu, nasib keluarga Norliza mendapat perhatian Pengerusi Sahabat Charity Balqis (SCB), Rukiza Abu Bakar yang hadir menghulurkan bantuan wang tunai, barang keperluan makanan lain serta lampin pakai buang.

Bagi mereka yang mahu membantu keluarga berkenaan boleh menghubungi keluarga tersebut di talian 014-9421670 atau menyalurkan bantuan ke akaun 02-039-02-487174-9 (Bank Islam) atas nama Norliza Mohd Saad. - Sinar Harian